Kawasan-kawasan rekreasi air di negara ini, terutama di lokasi berisiko tinggi berlaku kejadian lemas, perlu menyediakan kemudahan peranti pengapungan peribadi atau 'personal flotation device' (PFD).

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, berdasarkan statistik, purata 700 kes lemas direkodkan di negara ini setiap tahun yang kebanyakannya membabitkan pelancong.

Menurutnya, peranti berkenaan mampu membantu menyelamatkan nyawa jika berlaku kes kecemasan.

“Peranti pengapungan sebenarnya boleh disediakan di mana-mana tempat yang ada aktiviti air. Apabila berlaku kecemasan, sekurang-kurangnya ada alat-alat yang boleh digunakan di situ untuk menyelamatkan nyawa.

“Saya amat berharap pihak berkuasa tempatan akan memainkan peranan dan bantu mengurangkan kejadian mati lemas,” kata Lee selepas merasmikan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) untuk sektor pelancongan di sini pada Isnin.

Ujarnya, usaha meningkatkan aspek keselamatan dalam sektor pelancongan memerlukan kerjasama dan sokongan pihak berkepentingan terutama operator yang terlibat dalam menyediakan perkhidmatan dan kemudahan untuk pelancong.

Langkah itu penting kerana tahap kesedaran mengenai aspek keselamatan pekerja dan pelancong masih rendah, terutama yang membabitkan pengetahuan asas keselamatan termasuk penggunaan PFD dan jaket keselamatan.

Tambah Lee, NIOSH bersedia bekerjasama bagi membantu memperkasakan pengusaha pelancongan di negara ini sejajar tuntutan dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994.