Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menerima aduan terdapat beberapa syarikat pajak gadai menekan rakyat yang tidak begitu arif tentang moratorium dengan mengenakan caj walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Justeru, Ketua Pegawai Operasi FOMCA Saravanan Thambirajah menggesa agar Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memantau beberapa syarikat pajak gadai yang mengenakan caj kepada pengguna.

Beliau berkata sebelum ini Persatuan Pajak Gadai Malaysia memaklumkan bahawa caj tidak dikenakan terhadap gadaian selama tiga bulan iaitu bermula dari 18 Mac hingga12 Mei.

"FOMCA telah menerima aduan daripada pengguna yang menggadaikan barang kemas mereka dan dimaklumkan perlu membayar sehingga sembilan bulan. Oleh itu, pihak KPKT perlu turun padang dan memantau di setiap premis pajak gadai ini.

"KPKT perlu mengambil inisiatif membantu pengguna yang tertindas. FOMCA berharap pihak terlibat mengambil langkah sewajarnya untuk melindungi hak pengguna supaya tidak dibuli hanya kerana mereka terdiri daripada golongan berpendapatan rendah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Saravanan berkata KPKT juga memberi peluang kepada pengguna untuk mengadu nasib melalui media sosial atau menggunakan WhatsApp bagi memudahkan mereka yang tertindas menghantar gambar dan maklumat pemegang pajak gadai terbabit.

-- BERNAMA