Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa untuk mempercepatkan siasatan mencari dalang konspirasi untuk menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Pemuda UMNO Kedah Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, tuduhan itu amat berat dan perlu disiasat dengan kadar segera.

"Kita amat bimbang dengan senario sekarang iaitu wujudnya kemungkinan beberapa pegawai tinggi kerajaan yang mempunyai maklumat dan data strategik negara bertindak menjual ataupun membocorkan maklumat ini.

"Kita juga mengutuk usaha untuk menjatuhkan Kerajaan dan Perdana Menteri melalui kaedah yang tidak demokratik. Bagi Pemuda Kedah ianya satu pengkhianatan seumpama rampasan kuasa yg tidak sah "coup de tat" terhadap sebuah Kerajaan yang dipilih secara demokratik.

"Pemuda UMNO Kedah yakin, pilihanraya dan demokrasi adalah jalan yang paling baik untuk mana-mana pihak menukar Kerajaan dan Perdana Menteri," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Sebelum ini, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairul Azwan Harun mendakwa bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed, bekas gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan bekas peguam negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail terlibat dalam konspirasi untuk menggulingkan perdana menteri.

BACA: Zeti Akhtar antara terlibat konspirasi gulingkan PM - Pemuda UMNO

Dalam satu laporan polis, Khairul Azwan menjelaskan mempunyai sebab-sebab untuk mempercayai individu-individu tersebut telah memberi maklumat sulit dan dokumen kepada agensi-agensi di Amerika Syarikat termasuk pihak Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Tegasnya, maklumat-maklumat dan dokumen-dokumen ini telah diberikan kepada pihak asing tanpa kelulusan yang sah oleh pihak berkuasa Malaysia yang berkenaan termasuk Jabatan Peguam Negara dan sebahagian besar daripada maklumat tersebut adalah direka, dipalsukan serta diputar belit untuk mencapai tujuan-tujuan jahat.

Dalam pada itu, Shaiful turut bimbang campur tangan asing bukanlah satu jalan yang ideal untuk menyelesaikan kekusutan.

"Keupayaan Jabatan Kehakiman Amerika (DoJ) untuk menjalankan siasatan secara telus dan adil adalah amat diragui.

"Umum sedia maklum akan peranan 'pelobi' upahan dalam sistem pentadbiran dan perundangan Amerika.

"Keupayaan dan niat kumpulan-kumpulan tertentu adalah amat membimbangkan dan ia mampu mengugat kestabilan sebuah negara," ujarnya.

Shaiful juga mahu Perdana Menteri dibebaskan daripada sebarang 'jenama' politik yang berniat jahat.

"Harus diingat, Perdana Menteri sendiri menyatakannya tidak melindungi mana-mana pihak dan menggesa agar mereka yang terlibat dengan segera dibawa ke muka pengadilan," katanya.