Sejumlah 100 buah kilang kitar semula sisa plastik terpakai secara haram di seluruh negara akan ditutup operasi sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, kata Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin.

Beliau berkata bagi tujuan itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) menubuhkan pasukan petugas di peringkat ibu pejabat dan negeri yang akan merancang serta melaksanakan operasi bersepadu di negeri masing-masing.

"Sehingga kini, sejumlah 97 kilang kitar semula sisa plastik terpakai secara haram dikenalpasti di seluruh negara dan kami yakin dapat tutup operasi 100 buah kilang dalam tempoh suku pertama tahun ini.

"Tindakan tegas juga akan dikenakan terhadap pengusaha kilang kitar semula plastik berlesen yang tidak mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi penguatkuasaan bersepadu kilang kitar semula plastik haram di sekitar Kawasan Perindustrian Telok Gong di sini pada Khamis.

Turut hadir Ketua Pengarah JAS, Datuk Dr Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim dan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri.

BACA: Lambakan sisa plastik AS di Pelabuhan Klang - Laporan

BACA: KPKT belum luluskan pemberian AP sisa plastik - Zuraida

Yeo berkata Selangor menjadi 'hotspot' kilang kitar semula sisa plastik terpakai secara haram yang banyak dikesan di kawasan Parlimen Kuala Langat dan Klang, di mana sehingga kini 61 kilang dikenakan tindakan penguatkuasaan.

Katanya selain 61 kilang berkenaan di Selangor, pihaknya mengesan enam kilang di Johor serta masing-masing 10 kilang di Kedah dan Negeri Sembilan, Perak (tujuh), Pulau Pinang (dua) dan Kelantan (satu).

BACA: Caj melibatkan isu sisa plastik diketahui dalam tempoh sebulan - Zuraida

BACA: [PERSPEKTIF] Transformasi sampah sebagai sumber kekayaan baharu

Beliau berkata pihaknya turut mengambil tindakan ke atas 20 daripada 48 kilang kitar semula sisa plastik terpakai berlesen kerana tidak mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling.

Yeo berkata Malaysia menjadi lambakan sisa plastik haram yang diimport dari negara lain terutama bermula Januari hingga Julai tahun lepas dan susulan itu, kerajaan mengambil keputusan menghentikan permit import (AP) bagi tujuan tersebut.

-- BERNAMA