Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan menghantar wakilnya ke China minggu depan bagi menjelaskan isu berkaitan penyakit selsema burung yang berlaku di Kelantan.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, penjelasan perlu dilakukan berikutan sekatan sementara yang dikeluarkan China ke atas eksport sarang burung walit ke negara itu.

Menurut Ahmad Shabery, langkah berkenaan bertujuan menyampaikan maklumat tepat mengenai situasi semasa serta langkah pengawalan yang dijalankan kerajaan termasuk sistem zon yang dilaksanakan bagi membendung penularan penyakit selsema burung di Kelantan .

“Isu penyakit selsema burung yang melanda kelantan adalah sesuatu yang dapat dibendung. Ia telah dizonkan di kawasan yang berkenaan.

“Ia tidak merebak dan sebab itu tidak ada kebimbangan pihak negara China atau negara-negara lain untuk menghadkan semua jenis bentuk burung yang datang dari negara kita,” katanya selepas merasmikan Karnival Hala Tuju Pendidikan Lepasan SPM dan STPM serta Hari Terbuka Kolej Universiti TATI, di Kijal, Terengganu, di sini hari ini.

Menurut Shabery, industri sarang burung di Malaysia mempunyai kaedah sistem pendaftaran yang membolehkan maklumat tepat diketahui termasuk lokasi asal sarang burung yang dituai terutama bagi tujuan ekspot.

Untuk rekod,Malaysia mengekspot sarang burung walit bernilai kira-kira RM135 juta setahun ke negara China.