Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Datuk Seri Michael Manyin Jawong akan bertemu Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik Jumaat ini bagi membincangkan isu sekolah-sekolah di negeri ini yang bergelap selepas bekalan diesel untuk jana kuasanya dihentikan pembekal sejak bulan lalu.

Menurut Manyin, perjumpaan itu akan meletakkan titik noktah kepada isu-isu berkaitan sekolah tersebut.

Jelas beliau, antara cadangan untuk menyelesaikan isu ini termasuklah memastikan setiap sekolah akan ditangani oleh satu kontraktor tempatan dan membatalkan kontrak yang dimiliki kontraktor sebelum ini.

"Perlu rombak kontraktor juga. Sekarang keseluruhan 369 sekolah ada satu kontraktor sahaja," katanya kepada Astro AWANI di sini.

Sekolah-sekolah tersebut, yang terletak di pedalaman Sarawak, terbabit dalam kes penyelewengan pemberian kontrak projek hibrid solar yang ketika ini dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sebelum ini, sebuah portal berita mendakwa bekas pemimpin tertinggi negara menandatangani projek bernilai RM1.25 bilion untuk pemasangan panel tenaga solar di 369 sekolah di Sarawak.

Pelaksanaan projek itu dikatakan melangkaui proses biasa ditetapkan Kementerian Pendidikan supaya tender projek berkenaan tidak diberikan secara terbuka, sebaliknya diserahkan terus kepada syarikat sewaan kereta di Bintulu.

SPRM sebelum ini menahan tiga individu termasuk seorang pengarah syarikat bagi membantu siasatan berkaitan projek berkenaan.

Pada Ahad lalu, seorang bekas pegawai khas kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang direman bagi membantu siasatan tersebut dibebaskan Mahkamah Majistret Putrajaya.

Pada 11 Jun, Maszlee berkata Kementerian Pendidikan telah memulakan proses siasatan dalaman bagi mengenal pasti individu yang terlibat dalam isu penyelewengan itu.

BACA: Projek hibrid solar Sarawak: Pengarah urusan, peguam dilanjutkan reman 5 hari

Sementara itu, Manyin berkata, pertemuannya dengan Maszlee turut akan membincangkan isu sekolah daif, yang gagal diselesaikan pentadbiran terdahulu.

"Selama ini, pendidikan di bawah kerajaan persekutuan, dan banyak menteri pendidikan sejak beberapa tahun yang lalu telah dijemput untuk melawat semua sekolah ini.

"Ketika lawatan itu, ada antara mereka menitiskan air mata kerana melihat keadaan sekolah-sekolah ini. Tetapi ketika mereka kembali ke Semenanjung, mereka melupakannya," tambahnya.

Kerajaan persekutuan sebelum ini memperuntuk RM1 bilion untuk menaik taraf dan membina semula 210 sekolah-sekolah daif seperti yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Sarawak merekodkan sebanyak 1,020 sekolah daif dengan 415 daripadanya dikategorikan sebagai sangat daif.