Sekolah tahfiz dan madrasah akan dibenarkan beroperasi semula, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini, beliau berkata, tarikh pemulaan operasi itu selaras dengan tarikh pembukaan sekolah-sekolah yang akan diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, tidak lama lagi.

Namun, ujar Ahli Parlimen Bera itu lagi, kebenaran hanya diberikan kepada sekolah dan madrasah tahfiz yang berdaftar, manakala institusi yang tidak berdaftar perlu membuat permohonan daripada pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

"Sekolah dan madrasah tahfiz yang berdaftar sahaja dibenarkan dibuka, dan perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh KPM. Sekolah dan madrasah tahfiz yang mempunyai kemudahan asrama pula perlu mengikut SOP sekolah asrama yang ditetapkan.

“Bagi sekolah dan madrasah tahfiz yang tidak berdaftar, perlu membuat permohonan terlebih dahulu daripada pihak berkuasa agama negeri,” katanya lagi.

Dalam sidang media itu, Ismail Sabri turut memaklumkan kebenaran untuk duta-duta serta kakitangan kedutaan warga negara asing yang beragama Islam untuk menunaikan Solat Jumaat di masjid-masjid bermula 3 Julai, 2020.

Beliau berkata, surau-surau yang diuruskan pejabat kedutaan yang beroperasi sebelum perintah kawalan pergerakan juga dibenarkan untuk Solat Jumaat.

“Kementerian Luar Negeri akan menghantar nota diplomatik kepada kedutaan kedutaan yang terlibat berkenaan SOP yang perlu mereka patuhi.

“Mengenai warga negara asing yang beragama Islam, selain yang saya sebutkan ini, kebenaran masih dalam pertimbangan. Jika keputusan kita membenarkan, Insya Allah saya akan umumkan, tapi setakat ini statusnya masih sama lagi,” katanya lagi.