Pembukaan semula sesi persekolahan di daerah Kuching, Padawan dan Samarahan yang dijadualkan pada 3 Ogos ini ditangguhkan ke tarikh baharu iaitu pada 17 Ogos 2020.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Rabu, penangguhan itu melibatkan murid sekolah rendah dari Tahun Satu hingga Enam serta pelajar sekolah menengah bagi Kelas Peralihan, Tingkatan Satu hingga Empat dan Tingkatan Enam Rendah.

“Sebanyak 164 sekolah terlibat dalam sesi penangguhan ini.

“Keputusan dicapai dengan mengambil kira nasihat Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” memetik kemaskini kenyataan itu.

Susulan tindakan tersebut, penangguhan terus diperluaskan ke 25 buah sekolah di Padawan dan 24 di Samarahan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan sekolah yang terlibat termasuk di daerah Kuching adalah 213 buah sekolah.

Dalam pada itu, sesi persekolahan bagi kelas Prasekolah, Tingkatan Lima dan Enam Atas masih diteruskan seperti biasa.

Antara keputusan lain, JPBN Sarawak turut akan melaksanakan kerjasama dengan pihak Sarawak Volunteers (SV) bagi memudahkan urusan pendaftaran pelajar matrikulasi dari Sarawak ke Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan.

“Pendaftaran pelajar matrikulasi memerlukan bantuan. Oleh yang demikian, 1,145 pelajar Sarawak akan diberi bantuan sewajarnya oleh pihak Sarawak Volunteers,” tambah kenyataan itu lagi.

Di samping itu, Sarawak merekodkan pertambahan dua kes baharu positif COVID-19 pada Rabu menjadikan jumlah keseluruhannya kini 677 kes.

Kes yang pertama dilaporkan di Kuching melibatkan warga tempatan dan mempunyai sejarah kontak rapat kepada kes positif COVID-19 iaitu kes 630 yang dilaporkan pada 23 Julai lalu.

“Mangsa telah disaring untuk ujian rT- PCR pada 27 Julai 2020 di Pusat Saringan di Serian dan didapati positif COVID-19 pada 28 Julai 2020.

“Kes telah dimasukkan ke wad pada 28 Julai 2020,” lapor JPBNS.

Manakala, kes seterusnya melibatkan warga asing dari kluster yang masih aktif iaitu Kluster Mambong.

Mangsa dimaklumkan telah melalui saringan pada 27 Julai 2020 di sebuah klinik kesihatan kerajaan dan didapati positif pada hari seterusnya.