Sekolah di Pantai Timur mengungguli pencapaian cemerlang STPM 2017

Sekolah di Pantai Timur mengungguli pencapaian cemerlang STPM 2017
Dalam STPM 2017, pencapaian PNGK calon bandar adalah 2.78 manakala PNGK calon luar bandar adalah 2.75. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
PUTRAJAYA: Sekolah-sekolah di negeri Pantai Timur mengungguli senarai sekolah terbaik bagi keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2017.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Mustafa Ishak berkata, antara 10 sekolah terbaik bagi keputusan STPM itu, lima sekolah terdiri daripada sekolah di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

"Untuk tahun 2017, Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang, Selangor; SMK Tengku Panglima Raja, Pasir Mas, Kelantan; SMK Hua Lin, Taiping, Perak; SMKA Sheikh Hj Mohd Said, Seremban, Negeri Sembilan dan SMK Sacred Heart Sibu, Sarawak.
"Turut tersenarai SMK Padang Saujana, Jerantut, Pahang; SMK Kangkong, Pasir Mas, Kelantan; SMA Maarif, Besut, Terengganu; SMK Sultan Ibrahim (2) Pasir Mas dan SMK Tengku Mahkota, Muar, Johor," katanya semasa pengumuman keputusan STPM 2017 di sini, hari ini.

Selain itu Mohamed Mustafa berkata, dalam STPM 2017, pencapaian PNGK calon bandar adalah 2.78 manakala PNGK calon luar bandar adalah 2.75.


"Bagaimanapun, perbezaan jurang pencapaian antara calon bandar dalam peperiksaan STPM 2017 berbanding STPM didapati semakin merapat, iaitu daripada 0.09 mata pada STPM 2016 kepada 0.03 mata pada STPM 2017.

"PNGK calon luar bandar telah meningkat sebanyak 0.09 mata daripada peperiksaan tahun sebelum, iaitu daripada 2.66 kepada 2.75 berbanding PNGK calon bandar yang hanya menigkat sebanyak 0.03 mata iaitu daripada 2.75 kepada 2.78. Luar bandar telah mengalami sebanyak dua kali ganda berbanding calon bandar," jelasnya.