Kerajaan buat masa ini tidak bercadang untuk mengisytiharkan cuti persekolahan secara jangka panjang atau tempoh tertentu ekoran masalah jerebu yang melanda negara.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Pendidikan) Datuk Sufaat Tumin dalam reaksinya terhadap cadangan agar satu tempoh tertentu ditetapkan termasuk mengisytiharkan cuti sekolah selama seminggu berkata penutupan sekolah akan hanya akan dibuat mengikut keperluan setiap kes.

Selain daripada itu secara dasarnya pergerakan jerebu tidak boleh diramal.

Sufaat berkata untuk menangani masalah itu, kerajaan sudah mengeluarkan Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 14 Tahun 2013, Langkah- Langkah Kementerian Pendidikan Malaysia Bagi Menjamin Kesihatan dan Keselamatan Murid-Murid di Sekolah Sekolah Yang Berada Dalam Kawasan Berjerebu Yang Dianggap Kritikal, yang boleh dijadikan rujukan kepada semua pihak.

Surat Siaran bertarikh 18 Jun itu yang ditujukan kepada semua sekolah menggariskan antara lain tindakan yang boleh diambil pihak sekolah mengikut Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan masing-masing.

Antara langkah-langkah yang disarankan diambil oleh pihak sekolah adalah:

- Sekiranya IPU melebihi 150, pihak sekolah hendaklah menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah yang melibatkan murid-murid berisiko tinggi.

- Sekiranya IPU melebihi 250, pihak sekolah hendaklah menghentikan semua aktiviti ko-kurikulum di luar bilik
darjah.

- Semua sekolah yang berada di dalam kawasan atau daerah yang mempunyai IPU melebihi 300, hendaklah
ditutup serta merta.

- Pihak sekolah hendaklah sentiasa mengikuti perkembangan semasa mengenai fenomena jerebu di media
massa dan laman sesawang Jabatan Alam Sekitar untuk memudahkan mengambil tindakan.

- Murid-murid dinasihatkan memakai topeng muka dan banyak minum air.

- Pihak sekolah hendaklah merujuk murid-murid yang tidak sihat ke klinik dan hospital berhampiran.

- Ibu bapa yang bimbangkan kesihatan anak mereka boleh tidak menghantar mereka ke sekolah dan pihak
sekolah hendaklah dimaklumkan mengenainya.

- Semua jenis peperiksaan termasuk peperiksaan awam hendaklah diteruskan.

Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap antara 0 dan 50 adalah baik, sederhana (51-100), tidak sihat (101-200), sangat tidak sihat (201-300) dan berbahaya (lebih 301).

Justeru beliau menasihatkan pihak sekolah mengikut panduan langkah-langkah yang telah diberikan kementerian selain memantau sebarang pengumuman yang dikeluarkan terutamanya bagi menjamin keselamatan kesihatan pelajar.

Beliau merujuk kepada e-mel pembaca astroawani.com yang memberikan cadangan agar Kementerian Pendidikan mengisytihar cuti sekolah selama seminggu bagi memastikan kesihatan dan keselamatan pelajar terjamin selain memudahkan perancangan semua pihak.

Jerebu jejaskan kedatang pelajar