Sekretariat Muafakat Komuniti yang dibentuk di bawah Dasar Komuniti Negara baharu berjaya menghasilkan 40 program bagi membantu golongan B40 di Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, PPR Lembah Subang 2 merupakan projek perintis kepada program berkenaan.

“Ramai penduduk di situ bersama-sama telah menggiatkan aktiviti dalam Sekretariat Muafakat Komuniti bersama-sama dengan agensi kerajaan lain, universiti dan pihak swasta turut ambil bahagian,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Dr Santhara (PH-Segamat) yang mahu tahu sejauh mana Dasar Komuniti Negara yang baharu dilancarkan dapat menyelesaikan masalah komuniti setempat khususnya kalangan B40.

Berdasarkan pemerhatian awal, model pembangunan komuniti B40 di PPR menerusi Sekretariat Muafakat Komuniti adalah berkesan kerana didapati berlaku perubahan sikap yang lebih positif, peningkatan tahap kerjasama serta penglibatan ahli komuniti yang aktif.

“KPKT amat mengharapkan dengan usaha dilaksanakan, hasrat kementerian ini mendayaupayakan komuniti B40 di PPR supaya mereka bertambah baik,” kata beliau.

Dalam pada itu katanya, kementeriannya akan menumpukan kepada usaha penyelenggaraan PPR yang lebih baik selaras dengan pelaksanaan Dasar Komuniti Negara.

Untuk permulaan, ia akan dimulakan di 20 PPR di seluruh negara.

“Kita akan tumpu kepada rumah yang dikendalikan KPKT dahulu. Jadi peringkat pertama, Dasar Komuniti Negara akan dilaksanakan di 20 PPR seluruh negara,” tambahnya.