Jabatan Pendididkan Negeri Melaka dan Daerah diarah untuk menyiasat dengan terperinci susulan dakwaan kononnya dua pekerja pembersihan melakukan aktiviti tidak bermoral di dalam sebuah bilik darjah di sebuah sekolah perempuan di negeri itu, minggu lalu.

Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau dan Inovasi Negeri, Datuk Md Yunos Husin memaklumkan, insiden itu perlu disiasat segera bagi mengelakkan spekulasi terus berleluasa yang menimbulkan kebimbangan di kalangan ibu bapa dan pelajar sekolah berkenaan.

"Kerajaan amat memandang berat perkara ini dan saya telahpun meminta Jabatan Pendidikan Negeri dan juga Daerah mengambil tindakan sewajarnya serta tindakan segera telah diambil bagi menyelesaikan perkara ini.

"Pihak polis sebenarnya telah pun datang ke sekolah dan bertemu dengan pengadu dan juga suspek, pihak polis sedang menjalankan siasatan," jelas Md Yunos.

Selain itu, pihaknya turut mengeluarkan arahan kepada pihak sekolah terbabit untuk tidak membenarkan dua individu terlibat datang bekerja.

Amaran juga telah diberikan kepada pihak kontraktor pembersihan sekolah tersebut.

Pada masa sama, Md Yunos juga mengingkatkan semua sekolah untuk memastikan tiada tempat tersembunyi sehingga mendorong pihak tidak bertanggungjawab melakukan sebarang aktiviti tidak bermoral di dalam kawasan sekolah.

Sementara itu, pengawal keselamatan sekolah, Safuan Norman, 25, memaklumkan, pihak polis sudahpun datang ke sekolah berkenaan bersama pengadu untuk menyiasat perkara tersebut dengan lebih terperinci.

"Saya ada dengar dia mengadu, tapi saya tidak pasti betul atau tidak.

"Masa itu saya tengah ronda, tidak ada pula dengar apa-apa yang mencurigakan. Saya dapat tahu pun apabila polis datang hendak siasat, pengadu ketika itu naik van dengan polis. Suspek semasa itu sudah pulang, ketika itu Sabtu petang.

"Saya tidak nampak suspek selama dua hari selepas itu, sebab cuti Hari Raya Cina. Saya ingatkan dia cuti, tapi saya tidak pasti," ujar Safuan.

Dalam pada itu, Ketua Daerah Polis Melaka Tengah, Assisten Komisioner Shaikh Abd Adzis Shaikh Abdullah mengesahkan menerima laporan tentang insiden itu pada Isnin lalu.

Laporan dibuat pekerja wanita terbabit yang mendakwa dirinya dipaksa melakukan hubungan seks oleh rakan sekerjanya itu.

Menurut sumber, remaja perempuan bawah umur itu tampil membuat laporan di Balai Polis Melaka Tengah selepas ibunya terbaca mesej di telefon bimbitnya yang meminta lelaki berkenaan mencarikan pil pencegah kehamilan untuknya.