Kementerian Pendidikan (KPM) menunggu hasil siasatan polis sebelum mengambil tindakan sewajarnya terhadap seorang guru dari Shah Alam yang didakwa melakukan seks oral terhadap dua muridnya di Ayer Keroh, Melaka pada Oktober tahun lepas.

Menteri berkenaan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata sekiranya perlakuan kurang sopan guru lelaki berumur 28 tahun itu dapat dibuktikan, tindakan tatatertib terhadapnya boleh dikenakan secara automatik.

Beliau diminta mengulas laporan akhbar mengenai guru berkenaan yang melakukan seks oral terhadap dua murid lelakinya ketika membawa mereka menyertai kejohanan ragbi di Melaka.

Menurut laporan itu, seorang daripada murid berumur 11 tahun itu membuat laporan polis pada Ahad lepas dengan mendakwa guru ko-kurikulum berkenaan melakukan perbuatan itu terhadapnya semasa beliau di Tahun Lima.

Murid itu, yang kini di Tahun Enam, dikatakan tidak mahu ke sekolah akibat perbuatan guru itu menyebabkan ibu bapanya menyoal lanjut sehingga beliau menceritakan kejadian itu.

Terdahulu, Mahdzir merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Parit Mahang di sini dan menyampaikan sumbangan berupa kelengkapan sekolah kepada lebih 20 murid sekolah itu.

Beliau turut menyerahkan cek bernilai RM500,000 kepada Jabatan Pelajaran Negeri Selangor sebagai peruntukan bagi pembinaan sebuah dewan serba guna di sekolah berkenaan yang sering dijadikan pusat pemindahan mangsa banjir.