KUALA LUMPUR:Sektor kesihatan awam akan terus diberi perhatian dan tumpuan oleh kerajaan pada tahun 2021.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini termasuklah memastikan bekalan vaksin COVID-19 yang berkesan, selamat dan mencukupi untuk rakyat.

"Saya bersama petugas-petugas barisan hadapan akan menjadi antara orang yang terawal untuk menerima suntikan vaksin ini bagi membuktikan ia selamat dan berkesan.

"Kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas dan pesakit-pesakit yang menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti penyakit jantung, diabetes dan penyakit pernafasan kronik juga akan diberi keutamaan dalam menerima suntikan vaksin.

"Dalam masa yang sama, pemantauan keberkesanan dan keselamatan tetap akan diteruskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara," katanya dalam Perutusan Sempena Tahun Baharu 2021, malam ini.

Katanya, Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) melalui tiga fasa bermula seawal Februari 2021, yang menyaksikan bekalan vaksin akan diterima oleh sekurang-kurangnya 80 peratus rakyat Malaysia secara percuma.

Kerajaan menerusi KKM, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Wisma Putra telah mewujudkan satu portfolio bekalan vaksin dan menandatangani beberapa perjanjian bagi memperoleh bekalan secepat mungkin daripada syarikat-syarikat dan badan-badan pengeluar vaksin COVID-19.

Perutusan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena #TahunBaharu2021