"Industri teksi bukan untuk politik dan tiada tempat untuk orang politik dalam industri teksi. Kami hanya sediakan perkhidmatan."

Itu yang ditegaskan Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail, yang kini mempersoal penguatkuasaan yang dibuat pihak kerajaan terhadap perkhidmatan e-hailing.

Katanya, selagi tiada penguatkuasaan dibuat, pemandu perkhidmatan e-hailing boleh dianggap melakukan aktiviti penipuan.

"Selagi tiada pelaksanaan penguatkuasaan, mereka hanya melakukan kerja menipu dan aktiviti di luar peruntukan undang-undang.

"Uber dan Grab di bawah kategori teksi, cuma mereka guna aplikasi e-hailing untuk dapatkan penumpang.

"Jadi, apa yang susah sangat nak fikir? Operasinya sama seperti teksi. Jadi, pemandunya kena ikut apa yang dilalui pemandu teksi, seperti mendapatkan kad pemandu dan sebagainya," katanya pada sidang media di pejabatnya pada Isnin.

Tidak menolak potensi yang ada pada sistem e-hailing, beliau pada masa sama menegaskan, pemandunya masih perlu mengikuti prosedur sama seperti pemandu teksi lain.

Dalam perkembangan berkaitan, Shamsubahrin turut memberitahu, pemandu teksi kini tiada pilihan lain jika kerajaan sedia ada tidak mampu membantu dalam mengembalikan zaman kegemilangan teksi.

“Kami sebulat hati untuk mengadakan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad kerana mungkin bekas perdana menteri itu mahu mendengar permasalahan kami dan boleh membantu kami.

"Kami tidak mendapat bantuan seperti yang didakwa oleh kerajaan. Malah surat-surat yang dihantar kepada kementerian tertentu juga tidak berbalas sejak tahun lalu,” dia mendakwa.