Terlalu banyak tanda kenangan yang beliau tinggalkan untuk dijadikan inspirasi oleh penggantinya kelak.

Bukan sehari dua personaliti ini menjadi wajah atau ikon bagi institusi kesenian ini yang jasa paling besar ditinggalkannya ialah memasyarakatkan Istana Budaya (IB) sebagai pusat himpunan seni dan budaya negara.

Selama 13 tahun menjadi orang nombor satu, hari ini sampai masanya buat Datuk Mohamed Juhari Shaarani yang juga Ketua Pengarah IB mengakhiri perkhidmatannya.

Kerusi Ketua Pengarah IB bukan kerusi panas, namun, jawatan berkenaan menuntut bakal penyandangnya menjadi harus menjadi setara Mohamed Juhari atau lebih mesra disapa Abang Joe dalam kalangan pemimpin negara, penggiat industri hiburan dan pengamal media.

Beliau, sepanjang perkhidmatannya telah meletakkan tanda aras yang sangat tinggi selama bergelar Ketua Pengarah IB.

Abang Joe mencatat sejarah sebagai satu-satunya pegawai tinggi kerajaan yang mengemudi institusi kesenian negara selama lebih sedekad.

Dan esok (10 Jun), usianya genap 60 tahun dan itulah juga umur persaraan wajib bagi penjawat awam sepertinya.

"Abang Joe sahabat karib media"

Sebaik bersara, tentu sekali pihak yang akan terkesan dan bakal merindui telatah, canda, keriuhan dan keramahannya ialah wartawan.

Setiap kali bertemu media, ada sahaja cerita yang dikongsi, tidak kering gusi wartawan apabila duduk berborak dengan beliau sama ada ketika Abang Joe memberikan sidang media atau ketika berbual kosong.

Abang Joe adalah sahabat karib media yang tidak pernah menolak apa sahaja kehendak wartawan. Sesukar atau sesulit mana sekalipun, tidak pernah terkeluar perkataan tidak dari mulutnya.

Dalam masa sama, Abang Joe kekal profesional. Sekiranya ada sahaja keputusan atau dasar IB yang difikirkan media tidak kena atau tidak seiring dengan tuntutan semasa, beliau pastinya akan dikritik.

Dan Abang Joe kekal tenang, tidak mudah melatah jauh sekali mahu melenting.

“Abang Joe fikir, media adalah ejen paling utama membantu seluruh kepimpinan dan kakitangan IB untuk mengorak langkah berani, lebih kreatif dan terbuka, namun, tidak lupa pada asas keberadaan IB sebagai pusat perkembangan seni dan budaya.

“Bukan sekali dua Abang Joe dikritik oleh wartawan dalam tulisan mereka. Itu semua tidak menjadi sebab kenapa Abang Joe harus bermusuh dengan wartawan. Abang Joe fikir dalam hidup, kita harus saling menerima persamaan dan perbezaan pendapat. Itu akan membuatkan kita lebih tenang,” kata Abang Joe dalam wawancara eksklusif dengan Astro AWANI beberapa hari lalu.

Panggung Sari, Istana Budaya bakal dirindui oleh Abang Joe kerana pentas itu ibarat 'rumahnya' sendiri. - Gambar Astro AWANI

Dalam perbualan dengan anak kelahiran Perak, Darul Ridzuan ini, Abang Joe mengingatkan penulis dengan insiden beliau dikritik pedas oleh segelintir wartawan keranan membenarkan pentas prestij IB digunakan oleh bintang-bintang Akademi Fantasia (AF).

Banyak pihak membidas beliau kerana tidak memelihara imej elit IB yang setaraf panggung antarabangsa dengan memberi ‘muka’ kepada artis-artis baharu itu.

Namun, Abang Joe mempertahankan keputusannya itu.

“Ketika itu AF adalah sebuah jenama besar untuk keluarga rakyat Malaysia. Pada fikiran Abang Joe ketika itu, membenarkan bintang-bintang AF memasuki IB adalah peluang untuk memasarkan IB kerana pendedahan AF sangat besar di televisyen.

“IB ketika itu belum begitu besar pengaruhnya dan Abang Joe berterima kasih kepada Astro khususnya kerana menawarkan ruang kerjasama dengan IB yang akhirnya memberi manfaat yang sangat besar pada IB.

“Sementara kepada rakan-rakan wartawan yang mengkritik, Abang Joe tidak marah, sebaliknya, Abang Joe merasakan tulisan mereka menjentik cabaran dan memberi iltizam yang besar buat Abang Joe untuk maju melangkah ke hadapan,” kata Abang Joe yang menyifatkan IB adalah ‘rumah pertamanya’ memandangkan banyak masa dihabiskan di pejabat berbanding di kediaman sendiri.

Untuk rekod, Abang Joe menerajui IB menggantikan Datuk Azhar Abu Bakar yang menjadi KP pada 2005 hingga Mac 2007.

Ketua Pengarah IB yang pertama pula ialah sarjana seni dan perfileman Prof Dr Mohamad Hatta Azad Khan pada 2001 – 2005.

Sebelum menyertai keluarga IB, Abang Joe memulakan kariernya sebagai Ketua Unit Kumpulan Budaya Negara yang mengendalikan kumpulan artis tari di Kompleks Budaya Negara pada tahun 1997.

Buka pintu IB pada semua karyawan

Mengemudi institusi budaya yang juga wadah kelangsungan suara seniman dan budayawan tempatan, Abang Joe mengambil pendekatan berlaku adil pada semua pejuang seni.

Orang-orang filem, penyanyi-penyanyi dari arus perdana antara yang banyak diberi peluang beraksi di pentas IB.

IB, kata Abang Joe, harus menjadi sebuah institusi masyarakat dengan merentas kaum, latar ekonomi, selera seni dan usia.

Bertitik tolak dari situ, beliau memberanikan diri mengundang seniman-seniman dari segenap lapisan untuk berkarya di IB.

“Kita kena lihat jauh ke hadapan. IB tidak boleh dikhususkan untuk satu aliran sahaja, ia adalah panggung seni milik rakyat. Semua lapisan rakyat harus dibenarkan untuk hadir ke sini.

“Paling utama, IB harus didekati oleh angkatan generasi muda. Abang Joe mahu golongan muda mendekati IB dan membawa aspirasi mereka dalam kesenian apabila mereka dewasa kelak. IB harus menjadi institusi yang lebih gah pada masa hadapan.

“Kerana itu, sepanjang pentadbiran Abang Joe, IB membuka pintu kepada sesiapa sahaja mahu berkarya tetapi perlu akur dan patuhi kriteria yang digariskan oleh pentadbiran IB,” ujar Abang Joe lagi.

Di bawah perkhidmatannya, Abang Joe bekerjasama dengan ramai penggiat seni dan budaya mementaskan banyak naskhah hebat dan popular.

Antara pementasan yang akan kekal dalam ingatan pencinta seni ialah muzikal Puteri Gunung Ledang, muzikal P. Ramlee dan Ola Bola (kerjasama dengan Puan Sri Tiara Jacquelina) yang mencatat sejarah bukan sedikit.

Demikian jumpa pementasan broadway Mamma Mia, Cats dan pelbagai program antarabangsa menjadikan IB setara dengan panggung-panggung antarabangsa lain.

Bahkan teater-teater tempatan seperti Natrah, Tun Fatimah, Mek Mulung dan ratusan pementasan lagi adalah bukti bahawa tiada sebarang diskriminasi pementasan di IB.

Itu belum lagi disenaraikan jumlah konsert artis tempatan dan antarabangsa seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Jamal Abdillah, Datuk M. Nasir, Ella, Rossa dan ramai lagi telah menjadikan IB antara panggung yang menjadi igauan sebilangan besar penghibur.

Semua ini adalah buah tangan tinggalan Abang Joe yang sentiasa memerah otak bersama pasukan pengurusannya memikirkan bagaimana mahu merancakkan IB.

“Abang Joe fikir, aktiviti kesenian di IB sepanjang Abang Joe di sini adalah hasil kerjasama dengan seluruh pasukan IB. Tanpa kerjasama daripada mereka, IB tidak mungkin sampai ke kedudukan hari ini.

“Insya-Allah, Abang Joe yakin seluruh pegawai dan kakitangan IB sudah mahir dan cekap dalam melaksanakan tugas mereka dan IB akan lebih cemerlang selepas ini,’ kata Abang Joe menitipkan pandangan peribadinya pada IB yang bakal ditinggalkan.

Kembali ke rutin asal

Sekalipun bakal bergelar mantan Ketua Pengarah, namun, IB, kata Abang Joe, tidak akan lekang dari kotak fikirannya.

Masakan tidak, hampir setiap hari beliau akan berada di panggung yang memartabat dan memperkayakan kesenian dan kebudayaan negara.

Seawal pukul 7 pagi, lazimnya Abang Joe sudah sampai di pejabat sebelum beliau keluar beriadah di Taman Tasik Titiwangsa (belakang IB).

Sebelum pukul 9 pagi pula, beliau sudah terpacak di pejabat untuk memulakan tugasnya.

Waktu habis kerja pula tidak menentu kerana ada masanya beliau pulang awal, tetapi apabila ada pertunjukkan di IB pula pernah sehingga pukul 12 tengah malam baru Abang Joe tiba di rumah.

Dan mulai esok, rutin harianya akan berubah.

Tiada lagi kesibukan di pejabat mengadakan mesyuarat dengan pegawai dan kakitangan IB dan tidak perlu ‘bertekak’ dengan kontraktor.

Bahkan, pertemuan dengan penggiat-penggiat seni dan budaya juga sudah tidak perlu diberi perhatian selain panggilan wartawan.

Abang Joe di samping pegawainya, Puteri Shahda Azza Megat Burhainuddin yang juga Pengarah Pemasaran Istana Budaya. - Gambar Astro AWANI

Abang Joe akan kembali kepada kehidupan normal bersama isteri tercinta, Datin Nor Hashimah Haron, 59, yang juga bekas Penolong Pengurus Besar Telekom Malaysia serta tiga orang anaknya, Fatin Atilia, 31, Filza Athira, 26, Fazwa Atiqa, 22.

Abang Joe merancang untuk habiskan banyak masa untuk diri sendiri selain mahu mencari ruang bertemu rakan-rakannya.

“Abang Joe ini suka berkawan, maka lepas pencen ini bolehlah berjumpa kawan-kawan,, habiskan masa di masjid… apa lagi kita nak buat?” katanya sambil ketawa sekalipun kesedihan yang bersarang di fikiran cuba disembunyikannya.

Buat Abang Joe, terima kasih atas sumbangan besarmu buat gelanggang seni dan budaya.

Abang Joe pasti akan kekal dalam fikiran kami sebagai seorang yang memiliki kecintaan pada seni dan budaya melebihi kecintaan pada diri sendiri.

Jaga diri dan jaga kesihatan Abang Joe, ada rezeki pasti kita akan berjumpa lagi…