Semua premis makanan diwartakan sebagai tempat larangan merokok berkuat kuasa 12 tengah malam tadi, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Larangan itu selari dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018 bertujuan melindungi orang awam terutama golongan bukan perokok daripada terdedah kepada asap rokok.

Menerusi satu kenyataan media pada Isnin, Kementerian Kesihatan sekali lagi mengingatkan golongan perokok terhadap larangan berkenaan yang melibatkan semua tempat makan.

"Orang ramai adalah diminta untuk tidak merokok di semua tempat makan sama ada berhawa dingin dan tidak berhawa dingin.

"Ini termasuklah di dalam dan luar bangunan kawasan kedai makan, restoran dan medan selera.

"Larangan ini juga meliputi semua gerai makan dan kenderaan bergerak yang menyediakan kemudahan meja dan kerusi untuk makan dan minum serta semua restoran yang berada di atas kapal dan kereta api," kata Dr Noor Hisham.

Beliau turut mengingatkan semua pemilik, pengusaha atau tuan punya premis atau kenderaan bergerak atau kenderaan seperti yang disebutkan perlu memastikan tanda larangan merokok yang jelas diletakkan di tempat yang boleh dilihat.

Mereka juga dinasihatkan mengambil langkah-langkah bagi memastikan tiada orang yang merokok dengan tidak menyediakan kemudahan untuk merokok seperti bekas abu rokok dan sebagainya.

Di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 mana-mana individu yang melakukan kesalahan merokok di tempat larangan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Manakala di bawah Peraturan 12, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, semua pemilik, pengusaha atau tuan punya permis atau kenderaan yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok yang jelas boleh dikenakan tindakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

Bagi kesalahan gagal memastikan tiada orang merokok dan menyediakan kemudahan untuk merokok boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun.