PERKATAAN 'hero' tidak hanya untuk watak ‘Superman’ atau ‘Batman’ tetapi boleh digunakan untuk merujuk seseorang yang melakukan pengorbanan demi kebaikan individu, masyarakat ataupun negara.

Semalam, kita dikejutkan dengan berita kebakaran di wad kecemasan Hospital Sultanah Aminah (HAS), Johor Bahru.

Kejadian di tingkat dua Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital tersebut, di mana enam orang terkorban dan seorang berjaya diselamatkan, dipercayai berlaku sekitar jam 8.56 pagi.

Ia sekaligus mencetuskan pelbagai emosi dalam kalangan netizen yang sama-sama berkongsi rasa terkejut dan cemas yang pastinya dirasai mangsa dan keluarga mereka menerusi hashtag #PrayforHSA.

Netizen turut berkongsi rakaman gambar pasukan bomba, penyelamat dan anggota pasukan keselamatan lain yang bertungkus lumus memadamkan kebakaran serta menyelamatkan mangsa di HSA.

Malaysia Palestine SOF Elite Force
Kredit gambar: Facebook Malaysia Palestine SOF Elite Force

Akaun Facebook Skuad Peduli Bangsa Johor berkongsi sekeping gambar, di mana sekumpulan pasukan bomba dilihat sedang berehat selepas selesai menjalankan tugasan mereka.

“Syabas diucapkan kepada abang-abang serta semua yang terlibat bertungkus-lumus memadamkan kebakaran serta menyelamatkan mangsa di HSA,” tulis mereka.

FB Skuad Peduli Bangsa JOHOR
Kredit gambar: Facebook Skuad Peduli Bangsa JOHOR

Netizen rata-rata melahirkan rasa penghargaan kepada sesiapa yang mereka gelar sebagai ‘hero’ atas pengorbanan mereka yang tidak ternilai dalam operasi pemadaman kebakaran.





Sementara itu, sikap jujur dan amanah pasukan bomba yang bertugas di lokasi kejadian turut menjadi perbualan pengguna media sosial.

Berdasarkan beberapa gambar yang dikongsikan oleh Facebook Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia, ahli bomba dilihat menyerahkan wang tunai yang dijumpai semasa operasi kebakaran di HSA.