Walaupun Selangor mencatat jumlah kes denggi tertinggi sepanjang 2017, namun negeri itu telah berjaya mengurangkan kadar kes termasuk kematian dengan agak mendadak iaitu bermula Januari hingga Jun tahun ini.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor Dr Siti Mariah Mahmud berkata, sebanyak 15,925 kes dengan 13 kematian dicatatkan tahun ini, berbanding 24,792 kes dengan 38 kes untuk tempoh masa yang sama, tahun lepas.

“Harapan saya, agar jumlah kes di negeri ini dapat terus dikawal dan diturunkan dengan penglibatan semua pihak termasuk sukarelawan di negeri ini,” katanya ketika berucap sempena Hari Denggi peringkat ASEAN 2018, di Petaling Jaya, di sini hari ini.

Dr Siti Mariah berkata, pihak kerajaan negeri turut memberi penghargaan kepada pasukan Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) kerana memberi kerjasama dengan aktif dengan agensi kementerian dalam usaha membanteras wabak itu.

Majlis itu, bertemakan 'ASEAN Communitty Against Dengue' itu dirasmikan oleh Menteri Kesihatan yang baharu iaitu Dr Dzulkefly Ahmad, dan turut dihadiri wakil dari negara anggota ASEAN.

Dr Dzulkefly Ahmad menandatangani papan tanda 'tindakan pencegahan denggi bagi murid sekolah' pada majlis Sambutan Hari Denggi ASEAN di Sekolah Rendah Agama Kampung Sungai Kayu Ara hari ini. --fotoBERNAMA

Sementara itu, Dr Dzulkefly dalam ucapannya berkata, Malaysia telah berjaya mengurangkan kes dan kematian denggi selama dua tahun berturut-turut iaitu bagi sebanyak 16 peratus pada 2016 dan 17 peratus pada 2017.

Bagi jumlah kematian pula, beliau berkata, kadar yang dicatatkan menurun sebanyak 29 peratus pada 2016, dan 25 peratus pada 2017.

Untuk tahun ini pula, beliau berkata, sejumlah 32,435 kes dengan 53 kematian dilaporkan sehingga 30 Jun di seluruh negara, berbanding 49,726 kes dengan 110 kematian untuk tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

“Ini merupakan pengurangan kes sebanyak 17,291 (34.8 peratus) dan pengurangan kematian sebanyak 57 (51.8 peratus),” kata Dr Dzulkefly.