SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor perlu memberi penekanan terhadap kepentingan mengadakan pemeriksaan dan penilaian berkala terhadap operasi semasa fasiliti yang memiliki permit sah bagi membendung pencemaran sisa plastik import.

Setiausaha Kehormat Sahabat Alam Malaysia S. Mageswari berkata langkah itu perlu dilaksana bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan alam sekitar dan mengelakkan urus niaga yang mencurigakan dengan premis haram atau menerima sisa plastik import dari negara lain.

Beliau berkata adalah penting bagi agensi penguatkuasaan untuk memeriksa setiap penghantaran di peringkat antarabangsa dan pihak yang terbabit dalam perdagangan sisa dalam usaha 'mengekang kebocoran' pada sumbernya.

Mageswari turut mengingatkan kerajaan negeri mengenai bahaya pencemaran sisa plastik yang didakwa dihasilkan oleh beberapa loji kitar semula kertas yang kini beroperasi di Kuala Langat.

"Kerajaan negeri juga perlu waspada dengan e-sisa import yang semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini berdasarkan tinjauan lapangan kami di tapak pelupusan sampah di Sri Cheeding, Banting yang antara lain terdiri daripada cebisan plastik," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Mageswari berkata adalah penting untuk negeri lain seperti Pulau Pinang, Kedah dan Johor mengikut jejak langkah itu dan komited dalam mengharamkan import sisa serta mwngwnakan dasar yang ketat ke atas kilang pemprosesan sisa.

"Kita perlu berhanti mengimport sisa dari negara lain dan memfokus kepada mengutamakan pengurangan sisa, pengasingan sisa di peringkat sumber, kitar semula yang selamat dan pengkomposan sisa organik serta pembinaan kapasiti institusi untuk memudah cara ekonomi sirkular yang selamat dan bukan toksik dengan diterajui pengusaha kitar semula tempatan," katanya.

Khamis lepas, Kerajaan Negeri Selangor telah menetapkan lima dasar berhubung pengoperasian kilang dan premis memproses sisa plastik kitar semula di negeri itu bagi mencegah pencemaran.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian berkata persetujuan serta kelulusan mengenai dasar itu telah dibuat dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri pada 11 Mei lepas.

-- BERNAMA