Selangor sasar 9 juta pelancong tahun ini

Selangor sasar 9 juta pelancong tahun ini
Aktiviti paragliding di Bukit Jugra adalah antara tarikan pelancongan popular di Selangor. - Bernama
HULU LANGAT: Sektor pelancongan di Selangor dijangka menjana pendapatan lebih RM10 bilion pada tahun ini, dengan sasaran kedatangan kira-kira sembilan juta pelancong.

Exco Pelancongan dan Kebudayaan Selangor Datuk Abdul Rashid Asari berkata jumlah itu meningkat apabila sektor pelancongan Selangor menjana RM8.9 bilion dengan kehadiran 7.5 juta pelancong dicatat pada 2018.

"Kita begitu giat mengadakan program pelancongan, dan lawatan ke luar negara untuk mempromosi Selangor sebagai negeri yang harus dilawati.
"Selangor mempunyai keunikan dengan pelbagai makanan dan produk pelancongan serta diiktiraf Majlis Pelancongan Malaysia sebagai destinasi pilihan pada tahun lepas," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Abdul Rashid yakin jumlah sasaran pelancong ke Selangor pada tahun ini, dapat dicapai susulan negeri berkenaan mempunyai pelbagai destinasi pelancongan yang unik seperti Sky Mirror di Kuala Selangor dan aktiviti paragliding di Bukit Jugra.

Terdahulu, Abdul Rashid merasmikan jelajah media 'Eat Travel Write-Selangor International Culinary Adventure 2019' di Hulu Langat yang bermula hari ini dan berakhir pada 18 April.

Pada program itu, 31 peserta terdiri daripada media tempatan dan antarabangsa akan menikmati pengalaman dalam penyediaan keunikan juadah daripada etnik Minang dan Kerinchi di sekitar daerah Hulu Langat.