SHAH ALAM:Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan sebanyak RM200 juta bagi membendung masalah pencemaran air di negeri itu menerusi empat projek yang akan bermula pada tahun ini dan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, usaha itu akan dilakukan menerusi Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dengan menguatkuasakan pelaksanaan pelepasan efluen berdasarkan keupayaan kapasiti sungai iaitu aplikasi Total Maximum Daily Load (TMDL) di kawasan yang ditetapkan.

Selain itu, beliau berkata, cadangan pindaan Enakmen LUAS akan diangkat untuk mendapatkan persetujuan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini.

“Kita juga akan melaksanaan Projek Perintis Rawatan Biologikal/BioRemediation bagi tujuan pemuliharaan kualiti air Sungai Gong menggunakan kaedah kombinasi pendekatan biologi seperti peletakan bahan nanoteknologi (Aquaritin) dan kaedah fizikal seperti Raw Water Treatment System (RWTS).

“Projek perintis ini turut direplikasikan di Sungai Sembah, Sungai Beranang dan Sungai Buah berikutan tiga sungai ini dikenal pasti menjadi punca utama pencemaran di Sungai Selangor dan Sungai Langat,” katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.

BACA: Pegawai penguatkuasaan kekang pencemaran sungai ditambah - Amirudin

Terdahulu beliau pembentangan Belanjawan Selangor 2021 dalam Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-14.

Dalam pada itu, Amirudin menerusi pembentangan belanjawan berkata, dua lagi projek bagi menangani masalah pencemaran air di Selangor ialah pemantauan dan pengawasan melalui Skuad Pantas LUAS bagi pemantauan 24 jam di kawasan sensitif sumber air di Lembangan Sungai Selangor dan Sungai Langat.

Menurutnya, kerajaan negeri juga akan menambahkan bilangan stesen telemetri kualiti air bagi tujuan sistem amaran awal di hulu muka sauk yang berisiko.

“Malah, dalam usaha untuk menjamin tiada henti tugas ke atas operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3, dan LRA Rantau Panjang serta Semenyih semasa berlaku insiden pencemaran sumber air, kita akan melaksanakan projek pengepaman air mentah dari kolam takungan Projek Hybrid Off River Augmentation Storage (HORAS 600) di Sungai Selangor dan Kolam Takungan (Pond C) di Sungai Semenyih.

“Pelaksanaan ini dijangka akan siap dalam tempoh 18 bulan dengan memperuntukkan kos sebanyak RM200 juta. Malah, kita yakin dapat mengurangkan sehingga 90 peratus risiko henti-tugas di LRA yang menyebabkan gangguan bekalan air kepada 1.6 juta akaun pengguna akibat pencemaran,” ujarnya.

Sementara itu, Amirudin berkata, pihaknya juga akan menggantikan paip-paip usang yang telah dikenal pasti dengan perbelanjaan kos sebanyak RM579 juta.

Jelas beliau, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menyasarkan penurunan kadar air tidak berhasil kepada 25 peratus pada tahun 2025.

Bagi merealisasikan sasaran tersebut, katanya, kerja-kerja penggantian paip utama yang dianggarkan sepanjang 6,000 kilometer (km) di seluruh Selangor termasuk Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan dilaksanakan.

“Air Selangor menyasarkan pelaksanaan penggantian paip-paip usang berdasarkan kepada pemilihan hotspot kawasan kekerapan paip pecah dengan nisbah 150 km paip setahun.

"Sehingga kini, sebanyak 303 hotspot merangkumi 716 km paip telah dikenal pasti untuk dilaksanakan di bawah Program Penggantian Paip bagi tahun 2016 hingga 2020.

“Kos yang telah dibelanjakan bagi tahun 2016 hingga 2019 adalah sebanyak RM529 juta dan bagi tahun 2020 hingga 2022 adalah sebanyak RM579 juta,” ujarnya.