Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini mengumumkan pemberian Ganjaran Khas Prestasi Majlis Tahun 2014 satu bulan kepada kakitangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata, ia bagaimanapun tertakluk kepada syarat-syarat ketat penilaian prestasi secara menyeluruh.

"MMKN hari ini telah meneliti cadangan MBPJ untuk memberi Ganjaran Khas Prestasi Majlis Tahun 2014 sebanyak 3 bulan gaji kepada Ahli Majlis dan kakitangan MBPJ.

"Apa yang ingin ditegaskan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bertanggungjawab untuk menghayati akan tujuan penubuhan yang berorientasikan perkhidmatan kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata Azmin lagi, PBT diminta mematuhi dasar-dasar Kerajaan Negeri yang telah diputuskan sebelum ini selaras dengan Seksyen 10(9) Akta Kerajaan Tempatan 1972.

"Peningkatan kutipan hasil adalah disumbang melalui pembayaran cukai rakyat kepada PBT untuk mendapatkan perkhidmatan yang terbaik dan tidak boleh dilihat sebagai keuntungan perniagaan.

"Kutipan hasil dan rezab perlu diurus dengan berhemah dan dikembalikan kepada rakyat melalui pembangunan yang berkualiti dan perkhidmatan yang efisien.

"Ia termasuk Piagam Pelanggan yang jelas, penyelenggaraan jalan yang baik dan selesa, pengurusan sampah dan sisa pepejal yang cekap serta menjamin persekitaran yang bersih dan selamat," jelasnya.

Ujarnya, PBT juga perlu meneroka dan melabur dalam sektor perkhidmatan yang baru untuk meningkatkan kualiti kehidupan bandar.

"Kerana itu, kita terpaksa menolak cadangan MBPJ untuk memberi Ganjaran Khas Prestasi Majlis Tahun 2014 selama tiga bulan.

"Kita juga akan menyediakan satu garis panduan yang lebih ketat untuk semua PBT bagi menjamin prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pengurusan kewangan di peringkat PBT sendiri.