Tanggal 21 Mac ini bakal menyaksikan sekitar setengah juta rakyat Malaysia berkumpul di Putrajaya.

Program Selawat Perdana 1435H: Malam Cinta Allah dan Rasul bakal menggegarkan Dataran Masjid Putra, Presint 1, dengan alunan selawat, zikir dan qasidah pada Jumaat, bermula 8 malam.

Selawat Perdana sasar setengah juta umat

Program yang mensasarkan 500,000 kehadiran itu dianjurkan bagi menghimpunkan umat Islam, tidak kira usia, ideologi dan latar belakang.

Anjuran barisan generasi muda di bawah naungan Sekretariat Selawat Perdana, program ini diharap dapat menyatukan umat Islam dari seluruh Malaysia untuk memupuk perasaan Mahabbah iaitu melalui qasidah dan zikir.

Setiausaha Sekretariat Selawat Perdana, Shahrul Nasrun bin Datuk Haji Kamarudin yang juga Presiden Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia berkata, pihaknya mahu memupuk perhubungan sesama manusia yang berterusan, tidak kira keturunan, darjat, warna kulit, dan bahasa.

“Jika seseorang memerlukan bantuan, adalah menjadi tanggungjawab bersama membantu mereka yang kurang bernasib baik. Jika perkara ini dapat direalisasikan, maka hasrat Negara mewujudkan masyarakat penyayang akan segera tercapai.”

Artis tempatan turut hadir

Selain itu, pihaknya juga mahu menghimpunkan generasi muda dan mendedahkan mereka dengan hiburan segar dan aktiviti positif yang berteraskan akhlak yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin agung.

“Program ini diharap dapat mengeratkan ikatan ahli keluarga, ibu bapa dan anak-anak serta umat Islam dalam satu aktiviti minda sambil berhibur dengan persembahan Islamik bertaraf antarabangsa."

Acara bermula dengan alunan zikir pada jam 6.45 petang, diikuti solat maghrib berjemaah serta bacaan Al-Quran, seterusnya tazkirah agama oleh finalis program realiti TV Pencetus Ummah, diikuti solat Isyak.

Habib Syech Abdul Qodir As Seggaf

Bertemakan Kesatuan, Perpaduan dan Persaudaraan itu menampilkan ikon agama terkenal, Habib Syech Abdul Qodir As Seggaf dan tausiyah pula bakal disampaikan Habib Ali Zaenal Abidin. Program turut disertai Imam Muda dan Pencetus Ummah, selain selebriti-selebriti tanah air seperti Zizan Razak, Mawi, Adira, Nora Danish, Erra Fazira, Shahir, Nabil Ahmad, Rita Rudaini, Fizz Fairuz, Jep Sepahtu, Tomok, Zahida Rafik, Irma Hasmie, Yatt Hamzah dan ramai lagi.

Program ini akan disiarkan secara langsung di stesyen TV Al-Hijrah, Astro Oasis, RTM1, dan Live Streaming bermula jam 9 malam selama dua jam.

Siti Nurhaliza turut memberi sokongan