Tutup

Selepas 5 tahun, tragedi Tanduo jadi peringatan erti keamanan sebenar

Selepas 5 tahun, tragedi Tanduo jadi peringatan erti keamanan sebenar
Pak Yusop menunjukkan gambar dinding rumahnya yang dipenuhi kesan tembakan peluru. - Astro AWANI/Tan Su Lin
LAHAD DATU: Menelusuri kawasan perkampungan Tanjung Labian dan Tanjung Batu, anda masih dapat melihat beberapa lokasi rumah yang tinggal hanya runtuhan.

Malah ada juga lokasi rumah yang hanya tinggal cerucuk di celah-celah rumah kampung yang kelihatan masih baharu.

Ia adalah kesan peninggalan insiden pencerobohan pengganas pada 2013.

Penulis mendekati salah sebuah rumah kampung bersebelahan runtuhan rumah yang ditinggalkan.
Rumah berwarna merah jambu yang cukup menarik perhatian ini milik Yusop Sarang, 61 tahun, salah seorang penduduk di Tanjung Batu.

Ditanya sama ada rumahnya terkesan seperti jirannya itu, Yusop atau lebih dikenali sebagai Pak Yusop menunjukkan beberapa keping gambar kepada penulis.
Seakan-akan tidak percaya gambar menunjukkan dinding rumahnya itu dahulunya dipenuhi dengan kesan tembakan peluru. 

Namun, kini rumahnya setelah dibaiki nampak seperti rumah kampung biasa, kecuali pintu rumahnya ada beberapa kesan tampalan.

"Sini semua kesan tembakan dahulu, tetapi saya fikir tidak perlu ganti pintu baharu, hanya tampal. Okey juga sebagai tanda peringatan."

Di dalam rumahnya, masih ada kesan tembakan di siling dan pada salah satu bilik tidurnya, Pak Yusop menunjukkan kesan peluru menembusi dinding yang meninggalkan lubang sebesar saiz duit syiling 20 sen.

Yusop menunjukkan kesan peluru yang pernah 'hinggap' di rumahnya. - Asto AWANI/Tan Su Lin


Detik hitam dalam sejarah

Lima tahun sudah berlalu, memori hitam peristiwa 11 Februari 2013 masih menghantui peladang kelapa sawit itu.

"Ketika itu, kami mendengar di Kampung Tanduo sana mereka sudah 'berperang' (pengganas dan pasukan keselamatan). Di Kampung Tanjung Labian dan Tanjung Batu masih tiada apa-apa berlaku."

"Ada penduduk memberitahu tentera sudah memasuki kampung melalui ladang kelapa sawit. Jadi saya pergi siasat."

"Apa yang saya lihat adalah sekumpulan lelaki yang bukan berpakaian seragam tetapi diikat kain di kepala dan sebelah kiri lengan ada kain warna kuning."

"Lalu saya pusing habis motor dan segera patah balik ke kampung untuk beri amaran kepada penduduk kampung."

"Saya teriak kepada orang kampung: 'Lari, penceroboh sudah masuk!'."



Ekoran pengganas telah memasuki kampung itu melalui darat, penduduk kampung tiada pilihan untuk melarikan diri mengikut laluan pantai.

"Saya suruh orang kampung lari ikut pantai tembus ke kampung Tanjung Labian. Kami lari sampai air cecah pinggang dan meredah laluan air untuk ke kampung bersebelahan."

"Ada wanita dan kanak-kanak yang ikut saya. Yang kanak-kanak penah harungi air, saya dukung di bahu saya. Nasib baik, setelah kami sampai Tanjung Labian ada kenderaan yang membawa kami terus ke Dewan Fajar," katanya.

Tindakan pantas Pak Yusop telah berjaya menyelamatkan kira-kira 60 nyawa penduduk di kampung Tanjung Batu pada hari tersebut.

Keamanan yang dinikmati kini perlu dipertahankan. - Astro AWANI/Tan Su Lin

'Kami tidak takut lagi'

Pada hari ini, Pak Yusop mempunyai hubungan istimewa dengan pasukan keselamatan yang sudah jadi sebahagian kehidupan penduduk.

Berpangkalan di Pos Tanjung Batu, kelibat kereta kebal pasukan tentera yang sering melakukan rondaan memberi jaminan keselamatan kepada Pak Yusop.

"Kalau tiada tentera sini, memang orang kampung takut. Sekarang ada tentera hari-hari ronda di sini, masuk kebun kelapa sawit, sana sini."

"Kadang-kadang awal pagi, kami turun ke kebun, toleh belakang sudah ternampak tentera sudah ada dalam hutan. Jadi kami senang hatilah sekarang," katanya.

Setiap kali kenderaan pasukan keselamatan melalui hadapannya, Pak Yusop pasti akan menyapa mesra petugas-petugas tentera.

"Sebab mereka yang menjaga kita, jadi kalau mereka perlukan apa-apa pertolongan saya beritahu orang kampung, kita mesti bantu mereka," katanya dengan harapan kehadiran pasukan keselamatan akan kekal di kampung itu sampai bila-bila.

Tinjuan Astro AWANI di kawasan pantai Tanjung Labian mendapati penduduk kampung menjalani kehidupan seperti biasa.

Tanpa rasa takut atau bimbang, beberapa orang kanak-kanak dilihat sedang seronok bermain di pantai sambil diperhati ibu bapa mereka.

Tidak jauh dari pesisir pantai, kelibat sebuah bot tentera laut kelihatan berkawal di perairan itu.