Seorang wanita nekad terjun dari tingkat satu sebuah bangunan untuk melarikan diri daripada seorang lelaki yang dipercayai telah merogolnya di bilik sewa di Jalan Tan Sri di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit, berkata, seorang suspek berusia 22 tahun berjaya ditangkap selepas cuba melarikan diri di sebuah bilik sewa di Jalan Pahlawan pada jam 11.00 pagi tadi.

"Suspek, seorang penganggur telah berjaya ditahan ketika dia cuba terjun dari tingkat dua sebuah bilik sewa di Jalan Pahlawan.

Katanya, polis terpaksa menggunakan kekerasan yang munasabah semasa melaksanakan tangkapan kerana suspek bertindak agresif.

Katanya, mangsa, 25 tahun yang ditemukan oleh orang awam dibawa ke Balai Polis Sentral untuk membuat laporan polis.

Mangsa mengalami calar di bahagian badan dan patah jari kaki sebelah kanan selepas insiden itu.

"Pasukan Angkatan Pertahanan Awam yang dihubungi polis telah membantu memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum dihantar ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut," katanya.

Difahamkan, suspek dipercayai orang yang dikehendaki polis di Kuching dan telah melarikan diri ke Sibu sejak beberapa bulan yang lalu.

Dalam kejadian sekitar jam 5.00 pagi itu, mangsa yang menyewa di tingkat satu baru keluar dari tandas di tingkat satu apabila suspek bertindak menarik mangsa masuk ke dalam bilik mangsa.

"Mangsa telah dipukul dan diikat menggunakan tali plastik sebelum diperkosa.

"Suspek turut melarikan telefon bimbit dan juga wang tunai milik mangsa," katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 dan 376 Kanun Keseksaan kerana merompak dan mendatangkan cedera dan rogol.