Seorang wanita dan anaknya terpaksa bergelandangan dan menjadikan surau sebagai tempat berteduh mereka selepas suami yang menjadi tempat bergantung, dipenjarakan atas kesalahan jenayah.

"Kerana tidak mampu membayar sewa yang sebelum ini pun ada yang tertunggak, saya dan anak, Siti Noraisyah Umairah Mohd Khairul Anuar, 5, tekad keluar dari rumah sehelai sepinggang.

"Saya terpaksa bergelandangan dan kerap tidur di surau Cenderawasih dan kadangkala di beberapa surau lain di kawasan berhampiran yang tidak berkunci atau padang bola keranjang di Kampung Baru manakala di siang hari terpaksa keluar ke tempat lain mencari tempat boleh berteduh," kata Siti Azlina Abd Aziz, 37 yang ditemui di sini hari ini.

Menurut wanita itu, kesusahan dan kehidupan yang melarat itu terpaksa dilaluinya sejak 20 hari lalu selepas suaminya dikenakan hukuman penjara seumur hidup kerana terlibat dengan kes dadah.

"Sebelum ini kami menyewa di Kampung Pandan, dekat sini, dan ditanggung sepenuhnya oleh suami tetapi apabila dia dipenjarakan, kami hilang arah," kata Siti Azlina.

Katanya lagi, apabila memikirkan nasibnya yang semakin terhimpit kerana bergelandangan dia cuba untuk mencari pekerjaan sesuai.

"Dalam tempoh ini ada juga mencari kerja ringan memandangkan saya mempunyai penyakit kencing manis dan jantung.

"Saya juga mencari pekerjaan yang boleh membawa anak sekali kerana kami tidak ada rumah untuk membolehkan dia ditinggalkan, tambahan pula dia pun masih kecil.

"Malangnya kebanyakan tempat kerja tak nak pekerja yang membawa anak. Memang saya rasa susah sekarang, adakalanya mengharap belas ihsan orang untuk mendapatkan makanan sedikit makanan bagi mengalas perut," katanya.

Dalam pada itu, katanya, dia merayu kepada orang ramai yang boleh membantunya sama ada memberikan penempatan sementara atau pekerjaan bersesuaian dengannya.

"Saya pun dah tak sanggup nak teruskan hidup macam ni, bila lapar terpaksa meminta atau mencari di tong sampah.

"Anak pun tahun depan dah perlu ke sekolah, kami hidup sehelai sepinggang dan saya pun semakin buntu," tambahnya.