Penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus atau lebih dikenali sebagai UAI dijangka menjalani pembedahan bagi menyambung tulang lengan pada bahagian atas sikunya yang patah akibat terjatuh daripada basikal ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Pusara di sini petang semalam.

Pembantu khasnya, Wan Safari Wan Ahmad berkata, pembedahan bagi memasang implan untuk memulihkan kembali struktur tulang yang patah dilakukan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

"Kalau lihat pada jadual pembedahan dijangka jam 2 petang ini, namun waktu tepat bagi prosedur itu bergantung kepada keadaan pesakit yang turut menjalani pelbagai rawatan di bilik pembedahan itu.

"Kita sama-sama berdoa agar dipermudahkan segala urusan beliau," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Azhar (dua dari kanan) ketika menyertai kayuhan santai bersama Wan Sukairi di sekitar bandar Kuala Terengganu. - Foto Facebook Wan Sukairi Wan Abdullah

Dalam perkembangan sama, ditanya keadaan hidung penceramah itu yang dilaporkan patah, katanya, pihak hospital memaklumkan tiada pembedahan yang akan dilakukan terhadap kecederaan itu.

"Doktor maklumkan kecederaan pada hidung akan pulih dengan sendiri dan tidak perlu menjalani sebarang pembedahan," katanya.

Dalam pada itu Wan Safari berkata, buat masa ini Ustaz Azhar Idrus tidak boleh menerima sebarang kunjungan kerana perlu mendapatkan rehat yang mencukupi sehingga keadaan mengizinkan.

"Terima kasih atas titipan doa daripada semua.

"Bagaimanapun buat masa ini beliau perlu berehat sepenuhnya dan kita tidak dapat menerima sebarang kunjungan untuk menziarahi beliau sehingga keadaan mengizinkan.

"Kita jangka tempoh pemulihan beliau akan mengambil masa sehingga tiga bulan bergantung pada saranan pihak hospital," katanya.

Terdahulu UAI dilaporkan patah tangan kiri dan hidung selepas terjatuh basikal sebaik selesai menyertai kayuhan santai bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah di sekitar bandar Kuala Terengganu.

Kejadian itu dipercayai berlaku pada jam 6.30 petang setelah basikal yang ditunggang beliau tiba-tiba berhenti mengejut menyebabkan penceramah itu terpelanting.

Ekoran insiden itu penceramah bebas berkenaan dikejarkan ke HSNZ bagi mendapatkan rawatan kecemasan.