'Rindu bukan kepalang'.

Itulah luahan rasa yang dipendam selama ini bagi mereka yang telah lama tidak berjumpa dengan keluarga sepanjang menjalani bulan Ramadan di tengah-tengah pandemik COVID-19 selain ‘terkandas’ akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak ia dilaksanakan bermula 18 Mac lalu.

Perjalanan pulang ke kampung halaman oleh penuntut di universiti awam (IPTA), rata-ratanya mungkin sama malah dilihat lebih mudah apabila terus dapat berjumpa ahli keluarga tersayang.

Namun, lain pula pengalaman dikongsi Dayang Nurramizah Awang Abdurahman, 23, yang menuntut di universiti di Semenanjung kerana perlu menjalani kuarantin di pusat kuarantin selama 14 hari sebaik tiba di bandar kediamannya di Kuching pada 29 April lalu.

Dayang dan beberapa rakannya yang lain selesai menjalani kuarantin di bandar Kuching dan dibenarkan pulang ke rumah pada Rabu.

Dia yang merupakan mahasiswa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak itu mengakui telah menyimpan perasaan rindunya terhadap keluarga sejak PKP fasa pertama lagi.

“Saya rasa sangat teruja untuk berjumpa keluarga. Kadang-kadang rasa cemburu juga bila melihat rakan-rakan saya yang memuat naik gambar mereka melakukan aktiviti bersama keluarga sepanjang PKP ini.

“Jadi, saya rasa amat bersyukur kerana akhirnya dapat kembali ke pangkuan keluarga semula selepas dua minggu berada di pusat kuarantin ini,” katanya kepada Astro AWANI ketika dihubungi pada Rabu.

Pelajar Sarawak ditempatkan di pusat kuarantin iaitu di hotel-hotel selama 14 hari sebaik tiba dari Semenanjung sebelum dapat pulang ke kampung halaman.

Perkara sama dikongsi oleh Ummu Munirah Azmi, 24, apabila berasa lega selepas selesai menjalani prosedur ditetapkan kerajaan negeri Sarawak dan berasa lebih yakin untuk berjumpa keluarga tanpa membawa virus itu.

“Saya berasa lega kerana sekurang-kurangnya saya yakin bahawa saya tidak akan membawa penyakit dan meletakkan risiko terhadap ahli keluarga dengan adanya prosedur kuarantin dan proses ujian saringan sebelum kami dibenarkan pulang ke rumah,” katanya ketika dihubungi melalui aplikasi Whatsapp.

Dalam pada itu, Ummu berkata, besar harapannya agar rakan-rakan yang masih terkandas di kampus supaya terus menjaga kesihatan mental dan memeriksa kondisi rakan-rakan yang lain.

“Saya juga berharap agar mereka dapat bersabar sedikit lagi kerana pihak kerajaan sedang melakukan yang terbaik untuk memastikan semua pelajar boleh pulang ke kampung masing-masing dengan selamat,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Dayang Nur Bahieah Awang Ibrahim, 23, yang berasal dari Kota Samarahan berkata meskipun telah menjalani kuarantin diri, dia tetap akan mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan kebersihan diri sebelum mendekati ahli keluarga.

Menurut Dayang, kebajikan mereka seperti makan dan minum terjaga sepanjang menjalani kuarantin disitu. - Foto Ihsan Dayang Nurramizah

Katanya, layanan diterima oleh pihak pengurusan di pusat kuarantin amat memuaskan selain kebajikan mereka di situ terjaga dengan segala kemudahan yang diberikan.

“Jutaan terima kasih buat ‘frontliners’ yang telah bertungkus lumus bekerja, memberikan layanan yang terbaik dan menjaga kebajikan kami sepenuhnya sepanjang di pusat kuarantin,” katanya.

BACA: Kumpulan pertama 287 pelajar Sarawak berlepas pulang ke Kuching