Mahkamah Majistret hari ini melanjutkan tempoh tahanan reman selama tujuh hari terhadap dua kontraktor syarikat penganjuran acara bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana kerajaan lebih RM100 juta.

Perintah tahanan reman terhadap kedua-dua lelaki berusia 41 tahun mulai esok sehingga 1 April itu dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman di sini.

Seorang lagi kontraktor syarikat penganjuran acara berusia 36 tahun pula dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dan seorang penjamin.

Tiga kontraktor syarikat penganjuran acara tersebut adalah antara sembilan individu termasuk seorang pegawai kanan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Jumaat lepas berkaitan kes sindiket penyelewengan dana kerajaan bernilai RM107 juta.

Sindiket itu dipercayai bergiat aktif sejak 2010 dengan menggunakan bahagian kewangan agensi KBS membuat bayaran kepada 14 syarikat kononnya bagi tujuan menjayakan program berkaitan acara sukan.

Semalam, SPRM turut memperoleh perintah mahkamah untuk melanjutkan tahanan reman terhadap pegawai kanan KBS itu dan dua kontraktor syarikat penganjuran acara sehingga 30 Mac.

Dua lagi kontraktor syarikat penganjuran acara dan seorang wanita yang merupakan proksi sebuah syarikat yang turut ditahan reman selama tujuh hari sebelum ini, dibebaskan semalam dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin setiap seorang.

Semalam, seorang pegawai Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani turut direman selama tujuh hari sehingga 30 Mac bagi membantu siasatan kes berkenaan.