Polis Johor hari ini mengesahkan penangkapan seorang wanita tempatan berusia 23 tahun yang juga dipercayai teman wanita ‘Boy Setan’, lelaki yang dikaitkan dengan penyeludupan dadah menggunakan dron.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, wanita itu ditahan bersama seorang lagi lelaki warga Singapura berusia 41 tahun dengan kerjasama Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura di Taman Mount Austin, di Johor Bahru.

Kedua-duanya dipercayai bersengkongkol dengan 'Boy Setan' dalam kegiatan penyeludupan dadah ke Singapura menggunakan dron dari Kranji di Singapura ke Dataran Bandaraya Johor Bahru, di negara ini sebelum kembali semula ke republik itu.

Menurut beliau, teman wanita ‘Boy Setan’ itu ditahan pukul 1 petang semalam, sementara lelaki warga Singapura itu dicekup pada hari yang sama pukul 5.40 petang di sebuah kondominium berasingan di Johor Bahru.

Lebih ramai dijangka akan ditahan.

“Mereka ini (anggota) penyeludupan masih bersembunyi, maka banyak tanda-tanya. Maka beri polis tempoh masa sikit, mungkin ada lagi tangkapan susulan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Tambahnya, hasil siasatan polis Johor mendapati ‘Boy Setan’ dan seorang lagi suspek yang ditahan merupakan ahli kongsi gelap kumpulan 'Salakau' atau Geng 369 di Singapura.

Hasil saringan ujian air kencing, kedua-dua suspek yang ditahan didapati positif dadah jenis methapmphetamine.

Hasil semakan rekod, kedua-dua suspek yang ditahan merupakan orang dikehendaki berkaitan kes jenayah dan dadah oleh pihak berkuasa Singapura.

Dalam tangkapan itu, pihak polis turut menemui 37 biji pil ecstasy,13.60 gram syabu dan 2.40 gram heroin.

Kedua dua suspek warganegara Singapura direman 14 hari sehingga 7 Julai depan.