KUALA LUMPUR: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia akan menguatkuasakan 44 seksyen di bawah Akta Pemulihan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 [Akta A1646] bermula hari ini.

Menurut Perhilitan dalam satu kenyataan, Penguatkuasaan Akta A1646 bakal menyaksikan peningkatan penalti bagi kesalahan jenayah hidupan liar yang melibatkan beberapa kesalahan menyimpan, memburu dan menyeludup hidupan liar.

Katanya, kesalahan di bawah seksyen 71 iaitu 'mengimport, mengeksport atau mengeksport semula hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya tanpa permit khas' (penyeludupan) boleh didenda sehingga RM1 juta dan dipenjarakan tidak melebihi 15 tahun.

"Peningkatan penalti bagi kesalahan menyeludup hidupan liar adalah perlu kerana ia merupakan jenayah yang serius menyebabkan sumber khazanah negara itu terancam akibat aktiviti haram ini.

"Jenayah ini juga dikategorikan sebagai jenayah terancang berskala besar merentasi sempadan negara dan ia merupakan jenayah yang serius dan perlu dihentikan.

"Melalui peningkatan kadar penalti di bawah pindaan ini, ia akan memberi satu mesej jelas kepada penyeludup-penyeludup bahawa bahawa mereka perlu sedar dan berheni menjalankan aktiviti-aktiviti haram itu," katanya pada Rabu.

Perhilitan berkata, peningkatan penalti dan tempoh pemenjaraan ini adalah bersifat mencegah bertujuan memastikan hidupan liar terus kekal bagi generasi akan datang.

Seiring penguatkuasaan pindaan Akta 716 itu, Perhilitan turut bertekad meneruskan operasi penguatkuasaan secara bersepadu iaitu 'Biodiversity Protection and Patrolling Programme (BP3) di seluruh semenanjung.

Melalui BP3 jelasnya, program Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) bersama agensi penguatkuasaan kerajaan lain melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) dan Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) akan dilaksanakan.

"Program itu turut melibatkan badan bukan kerajaan (ngo) seperti TRAFFIC Southeast Asia, Wildlife Conservation Society (WCF), WWF, MNS, Pelindung dan RIMBA.

"Ini turut diperkukuh melalui pelantikan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (VAT), Orang Asli dan orang awam sebagai Renjer Hidupan Liar untuk membantu melaksanakan tuguas-tugas operasi kawalan sempadan, rondaan dan penguatkuasaan di dalam kawasan perlindungan serta Hutan Simpan Kekal di seluruh Semenanjung dalam menangani isu pencerobohan dan pemburuan haram," ujarnya.

Perhilitan turut berharap Wildlife Crime Brereau (WCB) yang ditubuhkan pada tahun 2022 di bawah PDRM dapat membantu aktiviti penguatkuasaan Akta A1646 itu.

Disamping itu, Perhilitan turut mengukuhkan Wildlife Crime Unit bagi membantu memperkasa aktiviti penguatkuasaan akta tersebut bagi konservasi hidupan liar.

Sehubungan itu, Perhilitan menyeru orang ramai penguatkuasaan akta itu dan bekerjasama menyalurkan maklumat sebarang aktiviti  jenayah hidupan liar melalui talian hotine 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my.