Berikut merupakan PENAFIAN tentang beberapa berita yang tular di media sosial dalam tempoh 24 jam oleh Kementerian Komunikasi dan Media (SKMM).

Penafian kejadian rempuh warga Malaysia di Bangunan Sultan Iskandar (BSI)

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia menafikan berlakunya kejadian rempuhan warga negara Malaysia yang cuba balik dari Singapura di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru pada 9 April 2020 dan menjelaskan sebenarnya peristiwa melalui video tersebut adalah suasana latihan kebakaran yang dilaksanakan di BSI pada 18 Disember 2019.

Penafian perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) diisytiharkan di Indera Mahkota 2

Ketua Polis Daerah Kuantan, Pahang menafikan dakwaan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan diisytiharkan di kawasan Indera Mahkota 2.

Penafian "Koperasi Ekspres Tentera” tawar pinjaman peribadi kepada anggota tentera

Pihak Pengurusan Koperasi Tentera menafikan mempunyai sebarang kaitan dengan “Koperasi Ekspres Tentera” yang mempromosi serta menawarkan pinjaman peribadi kepada anggota tentera.

Penafian campur tangan politik dalam urusan pengagihan Bakul Makanan

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menafikan dakwaan bahawa terdapat campur tangan politik dalam urusan pengagihan Bakul Makanan yang melibatkan kawasan Parlimen Kulai baru-baru ini dan menjelaskan JKM sedang menyelaras agihan kepada penduduk di setiap kawasan parlimen.

Penafian masyarakat orang asli dipinggirkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob menafikan dakwaan bahawa masyarakat orang asli dipinggirkan dan tidak diberikan sebarang bantuan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menjelaskan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) telah mengagihkan Bantuan Bakul Makanan kepada masyarakat orang asli sejak PKP dikuatkuasakan.

Penafian Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memakai helmet balistik bagi lindungi diri daripada air kencing yang dibaling warga asing

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan dakwaan anggotanya memakai helmet balistik bagi melindungi diri daripada air kencing yang dibaling warga asing semasa bertugas di kawasan bangunan Selangor Mansion dan menjelaskan anggota ATM memakai helmet balistik di semua kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).