Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu menafikan dakwaan bahawa Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) Terengganu merampas topeng muka kain hitam buatan sendiri yang dipakai petugas Sekatan Jalan Raya (SJR).

Menurut polis, tuduhan ini adalah tidak benar sama sekali dan ia hanyalah tohmahan liar terhadap BIPS Terengganu.

Polis Terengganu tidak pernah bertindak atau mengarahkan tindakan sedemikian rupa, malah amat menitikberatkan kebajikan semua petugas di barisan hadapan.

“Ia termasuk dari segi kebajikan kelengkapan, keselamatan dan kebersihan, termasuk makan dan minum.

“Tambahan pula, baru-baru ini telah disediakan pula khemah untuk keselesaan petugas SJR berehat, solat dan sebagainya.

“Pemantauan memang diadakan di semua SJR dan tugas barisan hadapan, namun ia bukan untuk mencari kesalahan, tetapi lebih kepada mencari kekurangan yang ada bagi tujuan penambahbaikan,” kata kenyataan di laman rasmi Facebook Polis Terengganu.

Tidak timbul isu pucuk pimpinan Polis Terengganu tidak menjaga kebajikan petugas di barisan hadapan atau menzalimi mereka.


2. JKNJ nafi pesakit COVID-19 kunjungi Bank CIMB Bukit Gambir

Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menafikan mesej meminta orang ramai yang berada di Bank CIMB Bukit Gambir, Muar pada 10 hingga 13 April 2020 untuk menjalani saringan COVID-19.

Ia berikutan penularan berita palsu kononnya seorang pesakit COVID-19 dari Bukit Gambir telah mengunjungi bank berkenaan dalam tempoh yang dinyatakan.