Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggariskan sembilan intervensi untuk mengurangkan beban tugas guru, yang akan dilaksanakan bermula Januari tahun depan, kata Menterinya Dr Maszlee Malik.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, sembilan intervensi berkenaan akan dipecahkan kepada lima inisiatif, yang mana akan diumumkan ketika Perutusan Tahun Baharu, Januari 2019 nanti.

“KPM komited memastikan semua tugas pentadbiran yang ada seharusnya bertujuan untuk meningkatkan kualiti pembelajaran anak-anak di sekolah. Ini termasuk menyelesaikan semua tugas yang bertindih dan tidak relevan dengan Pengajaran dan Pembelajaran. Ini semua untuk memastikan guru fokus mengajar serta mendidik di dalam kelas.

“Berdasarkan kesemua isu yang telah dikenal pasti, Kementerian Pendidikan telah menggariskan strategi pelaksanaan dalam tempoh jangka masa pendek untuk dilaksanakan sepanjang 2019, jangka sederhana iaitu untuk dilaksanakan pada Jun 2019 dan jangka panjang untuk dilaksanakan pada tahun 2020 sehingga 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Perhimpunan Khas Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) dan Amanat Tahun Baharu Menteri Pendidikan di sini pada Sabtu.

Terdahulu dalam ucapannya, Maszlee berkata, KPM sedar betapa pentingnya melibatkan kesatuan guru dan mengambil pandangan akar umbi, iaitu para guru yang mengajar di sekolah sebelum membuat sebarang perubahan polisi.

“Strategi ‘bottom-up’ dalam membuat keputusan ini adalah sesuatu yang baharu dalam kalangan warga kerja KPM. Ianya melibatkan perubahan mentaliti dan budaya serta cara kerja semua pegawai di KPM sehingga pegawai di JPN dan PPD.

“Oleh yang demikian saya memohon agar para guru bersabar sementara gerak kerja baharu ini bermula kerana perubahan mengambil sedikit waktu untuk direalisasikan,” katanya lagi.

Maszlee berkata, beliau akan terus berpegang kepada salah satu fokus utamanya, iaitu untuk memastikan guru-guru mengajar dan bekerja dengan gembira dan menyeronokkan.