Hujan lebat sejak tengah hari semalam menyebabkan sembilan kampung di daerah ini ditenggelami air.

Kampung yang terlibat adalah Kampung Sungai Mekong, Jeli Lama, Air Lanas, Rahmat, Wakaf Zain, Legeh, Sungai Satan, Lakota dan Gemang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Jeli, Penolong Penguasa Bomba Mohd Adni Ibrahim berkata, air naik mendadak bermula jam 11 malam sehingga jam tiga pagi tadi.

Katanya, sebanyak enam Pusat Pemindahan Sementara (PSS) mula dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeli 1, SK Legeh, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Lanas, Pusat Pasti Sungai Satan, Masjid Gemang dan Lakota.

"Kita terima panggilan menyelamat jam 11 malam tadi dan operasi menyelamat dilakukan pelbagai agensi, manakala bomba bertugas seramai 12 orang dengan tiga anggota pasukan bomba sukarela (PBS)," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Adni berkata, banjir turut menyebabkan dua jalan terputus dan ditutup kepada awam iaitu Jalan Air Lanas dan Jalan Reko.

Ia sekali gus menyebabkan laluan Lebuh Raya Timur Barat yang menghubungkan Jeli dan Gerik, Perak, tidak boleh dilalui semua kenderaan.

Foto JBPM Kelantan

Bilangan mangsa yang terjejas buat masa ini sedang dikemas kini memandangkan ada kawasan yang memerlukan penduduk ke PPS dan ada yang kembali semula ke rumah selepas hujan berhenti pagi tadi.

Sementara itu, penduduk Kampung Gemang, Kamarudin Idrus, 31 tahun, berkata, dia dan enam ahli keluarga terpaksa lari sehelai sepinggang untuk menyelamatkan diri ketika air mula naik hingga paras pinggang di hadapan rumahnya jam 12 tengah malam tadi.

Dia dan isteri, Nurul Amirah Ibrahim, 30 tahun, ibunya Che Rakiah Che Deraman, 63 tahun, serta dua anak dan seorang anak saudara berlindung di Masjid Kampung Gemang sehingga hujan berhenti kira-kira jam 5 pagi tadi.

"Ini kali pertama seumur hidup saya berdepan situasi ini. Dan air masuk hingga ke dalam rumah," katanya.

Kamarudin berkata, terdapat lebih kurang 100 penduduk di kampung itu dan ketika ini mereka sudah pulang ke rumah masing-masing selepas air semakin surut.

Foto JBPM Kelantan