Sembilan lelaki ditahan positif dadah dalam Op Bersepadu sempena Tahun Baharu Cina, dalam dua operasi berasingan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol dan R&R Gurun arah selatan, malam tadi.

Operasi oleh Polis Cawangan Trafik Bukit Aman Lebuhraya Zon Utara 3 dan 1 itu disertai 122 anggota selain turut melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Antidadah Kebangsaaan, Jabatan Narkortik, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, PLUS dan Propel.

Ketua Operasi Trafik Bukit Aman Lebuhraya Zon utara ASP Hazir Reza Mohd Ghazali berkata tiga daripada yang ditahan adalah pemandu lori, seorang pemandu bas ekspres, tiga penunggang motosikal dan dua lagi pemandu kereta.

Katanya dalam operasi selama tiga jam setengah bermula 8.30 malam itu, sebanyak 31 saman trafik, 19 saman JPJ dan 11 notis dikeluarkan kepada pesalah jalan raya di R&R Gunung Semanggol.

"Seratus saman dikeluarkan di R&R Gurun membabitkan 30 kesalahan trafik, JPJ (60) dan empat timbang serta empat notis daripada SPAD," katanya kepada pemberita di R&R Gunung Semanggol dekat sini malam tadi.

Hazir Reza berkata dalam kedua-dua operasi itu 40 lori dan 20 bas ekspres diperiksa.

Katanya operasi berkenaan bertujuan mengesan pemandu lori dan bas yang didapati menyalahgunakan dadah ketika memandu kerana ia antara punca kemalangan jalan raya dan ia akan diadakan dari semasa ke semasa.

"Selain itu, kenderaan perdagangan lori juga didapati membawa kayu penyendal yang jika terjatuh di atas lebuh raya boleh mengakibatkan kemalangan maut dan bahaya kepada pengguna lain terutama motosikal," katanya.