Sembilan individu tersesat dalam hutan ketika menjalankan aktiviti pendakian di Bukit Bendera, di sini pada Selasa dan usaha mencari mereka giat dijalankan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan dari seorang daripada sembilan individu itu pada pukul 7.27 malam memaklumkan mereka sesat di kawasan Bukit Bendera.

"Dua jentera dari Balai Bomba Penyelamat Bagan Jermal dan Paya Terubong dihantar ke kaki Bukit Bendera bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

"Pihak bomba berjaya menghubungi semula mangsa yang membuat panggilan kecemasan memaklumkan kejadian itu dan dia dapat dihubungi melalui talian telefon serta memberitahu mereka kemungkinan berada di kawasan Wand Gate 7 Bukit Bendera," katanya kepada pemberita di sini, Selasa malam.

Katanya, setakat ini maklumat lengkap semua mangsa belum diperolehi dan hanya mendapat jumlah mangsa sembilan orang sahaja dan kerja-kerja mencari serta menyelamat sedang dijalankan dengan bantuan ERT (Emergency Response Team) Bukit Bendera.

-- BERNAMA