announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Sembilan termasuk warga emas ditahan terlibat aktiviti pecah kedai

Sembilan termasuk warga emas ditahan terlibat aktiviti pecah kedai
Kesemua suspek yang berusia antara 21 hingga 68 tahun ditahan di lima lokasi berasingan.
BUKIT MERTAJAM: Sembilan lelaki termasuk seorang warga emas ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam enam kes pecah masuk kedai di kawasan Icon City dan Kampung Jalan Pengkalan, Bukit Tengah.

Kesemua suspek yang berusia antara 21 hingga 68 tahun ditahan di lima lokasi berasingan di sekitar Bukit Mertajam, Bukit Tengah dan Bandar Baharu dan Serdang di Kedah, kira-kira jam 4 pagi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid memaklumkan, pihak polis telah membuat serbuan di sebuah rumah di Kampung Telok Sera, Serdang, Kedah dan menahan lima suspek yang disyaki terlibat dalam kes memecah masuk kedai tersebut.

Katanya, selepas disoal siasat, salah seorang suspek mengaku telah memecah kedai di sekitar Bukit Tengah.

"Berpandukan maklumat dari suspek, pihak polis telah membuat tangkapan suspek lain di beberapa lokasi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Antara barang-barang yang dirampas oleh polis. - Foto PDRM

Nik Ros Azhan berkata, hasil serbuan di lokasi-lokasi tersebut pihak polis merampas lapan plastik lutsinar disyaki dadah, penimbang digital, beberapa dokumen dipercayai milik syarikat, dua buah peti simpanan wang, mesin juruwang dan lain-lain barang kes yang disyaki dicuri suspek.

Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPT untuk tindakan selanjutnya.

Ujian air kencing terhadap lapan suspek dapati positif dadah jenis methamphetamine.

Kes di siasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan Seksyen 32 Akta Dadah Berbahaya.