Pihak Berkuasa Imigresen dan Pemeriksaan Singapura (ICA) menahan seorang pemandu bas warga Malaysia kerana cuba menyeludup keluar seorang lelaki yang bersembunyi di bahagian bagasi bas yang dipandunya.

Dalam kenyataannya hari ini, ICA berkata lelaki berusia 37 tahun tersebut ditahan di Pusat Pemeriksaan Tuas kira-kira 9.20 malam semalam.

Semasa menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah bas bernombor pendaftaran Malaysia, pegawai ICA mendapati pemandu itu berada dalam keadaan gelisah sekali gus menimbulkan kecurigaan pegawai yang bertindak menjalankan pemeriksaan menyeluruh dan menemui seorang lelaki bersembunyi di dalam bahagian bagasi.

ICA berkata siasatan awal mendapati 'penumpang haram' tersebut adalah warga India berusia 25 tahun yang dijadualkan untuk dihadapkan ke mahkamah.

Siasatan juga mendapati pemandu itu dijanjikan bayaran S$700 oleh seorang ejen yang tidak dikenali jika dia berjaya menyeludup lelaki warga India tersebut keluar dari Singapura.

Menurut kenyataan itu, pemandu dan warga India berkenaan akan didakwa esok menurut Akta Imigresen yang memperuntukkan denda sehingga S$2,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

ICA berkata agensi itu memandang serius kesalahan sedemikian.

"Sempadan kami merupakan barisan pertahanan pertama kami dalam menjaga keselamatan Singapura," demikian menurut kenyataan itu. -- Bernama