Jawatankuasa Saintifik yang ditubuhkan Kementerian Sains, Tenaga, Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar bagi membantu menyiasat punca dan menangani pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang di sini akan memulakan tugasan mereka menerusi beberapa fasa.

Menurut pengerusi jawatankuasa itu, Profesor Dr Abdull Rahim Mohd Yusoff yang dilantik sejak Jumaat lalu,
bagi fasa pertama, proses pengumpulan data akan dimulakan bagi mendapatkan rumusan saintifik punca kejadian sejak 7 Mac lalu itu.

“Fokus kita sebenarnya nak source indentification dekat mana hendak tumpukan penglibatan kita. Kejadian, kes banyak berlaku tetapi kalau kita hendak buat satu kesimpulan tidak dapat buat ada sebab kita hendak tahu apa sebabnya kita nak buat pengecaman punca apa sebenarnya,” jelasnya.



Selain rumusan, tindakan menyah molekul gas kimia yang tersebar juga akan dijalankan hari ini menerusi penyemburan cecair khas ke udara di sekitar lokasi pencemaran.

“Kebanyakan kaedah digunakan adalah dengan decontamination jika sesuatu tempat itu ada illegal dumping apa yang berlaku apabila gas berkenaan meruap.

“Jadi hanya pilihan kita ada dimana kita akan lakukan decontamination cari bahan sesuai untuk disembur oleh kerana wap bahan kimia ini merupakan molekul organik, apabila kita sembur dengan (cecair) decon ini ia akan memerangkap gas tersebut dan jatuh ke dalam air bertukar menjadi molekul berat. Kawasan itu akan selamat,” ujarnya lagi.

Jelasnya, molekul lapan bahan kimia yang dikenal pasti di Sungai Kim Kim itu bersifat hidrogen karbon dan mudah dinyahkan menggunakan campuran cecair khas.

Meskipun bahan kimia berkenaan akan jatuh ke dalam dasar sungai, namun ia tidak menjejaskan kualiti air dan akan dinyah secara semulajadi dalam tempoh tertentu.

Sejurus selesai proses berkenaan, pihaknya akan meneruskan pemantauan dan penilaian kualiti air bawah tanah di sekitar Sungai Kim Kim.

Ia bagi memastikan tiada bahan kimia yang meresap ke dalam tanah sekaligus dan tidak mencemarkan kualiti air bawah tanah.

“Kalau berlaku pencemaran bahan kimia, antara kerisauan dimana bahan kimia jenis cecair itu akan serap ke dalam tanah dan mengubah kualiti air bawah.

“Namun berdasarkan pembacaan kita dapati bahan kimia yang dibuang ini kadar kepekatan tinggi dan tidak meresap ke dalam tanah. Ia hanya berada di dasar sungai sahaja,” tambahnya.

Bagaimanapun pemeriksaan dan pemantauan berkala akan dijalankan dalam memastikan tiada pencemaran bagi sumber air bawah tanah.