Sempat kongsi cara solat jenazah sehari sebelum ajal tiba

Sempat kongsi cara solat jenazah sehari sebelum ajal tiba
Motosikal mangsa dipercayai meluru laju dan merempuh jentera bomba sebelum mangsa terjatuh dari motosikal dan meninggal dunia di tempat kejadian. - Astro AWANI
KOTA BHARU: Segala persiapan untuk menamatkan zaman bujang telah disiapkan, namun Allah lebih menyayanginya.

Seorang pemuda tidak kesampaian menaiki pelamin apabila maut dalam kemalangan di satu simpang di Batu 4, Tunjong, Kota Bharu, pada Rabu.

Muhammad Afifi Amiri Mohamad Nawawi, 28 tahun, yang bakal mengakhiri zaman bujangnya dua minggu lagi, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan di kepala dan paha susulan motosikalnya merempuh sebuah jentera bomba.
Terdahulu pada Selasa, Muhammad Afifi dikatakan sempat memuat naik status di akaun Facebook miliknya, berkongsi mengenai cara-cara melakukan solat jenazah. 

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tunjong,  Zainal Fitri Husain, dalam kejadian kira-kira jam 6.05 petang Rabu, mangsa yang datang dari arah Jalan Pasir Hor menuju ke Jalan Pasir Mas, merempuh sebuah jentera bomba.

Jentera bomba berkenaan sedang bergerak untuk membelok ke Jalan Tunjong selepas lampu isyarat hijau.

Bagaimanapun, motosikal mangsa yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah meluru laju dan merempuh jentera bomba.

Akibat rempuhan itu, mangsa terjatuh dari motosikalnya dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk bedah siasat.