Tiga anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dari blok pembangkang hari ini mengumumkan meletak jawatan dalam jawatankuasa berkenaan.

Mereka ialah Ahli Parlimen Parit Sulong (BN), Datuk Noraini Ahmad dan Ahli Parlimen Jasin (BN), Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Ahli Parlimen Kota Bharu (Pas), Datuk Takiyuddin Hassan.

Pengumuman dibuat dalam satu sidang media di lobi parlimen.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, mereka tidak akan menyertai PAC sehingga kerajaan memberikan jawatan pengerusi kepada pembangkang.

"Semua ahli PAC pembangkang letak jawatan dan berikan sepenuh kuasa kepada kerajaan. Kita tidak akan berada dalam PAC sehingga kerajaan berikan jawatan pengerusi daripada pembangkang. Dua daripada BN iaitu Ahli Parlimen Parit Sulong (Noraini) dan Jasin (Ahmad) manakala daripada Pas Ahli Parlimen Kota Bharu (Takiyuddin), kesemua mereka letak jawatan serta-merta," katanya ketika sidang media, di lobi Parlimen, hari ini.

Ujarnya lagi, mengikut janji 16 yang termaktub dalam Manifesto PH, jawatan Pengerusi PAC dikhaskan untuk Ahli Parlimen pembangkang.

"Keputusan daripada perjumpaan Ahli Parlimen BN, kita cadang Noraini untuk jadi pengerusi PAC, malah surat daripada BN juga sudah dikeluarkan pada 1 Mac untuk maklumkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof namun tidak ada respons, sehingga kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kedudukan Ronald kekal. Kalau diteruskan, maknanya Pengerusi PAC daripada PH, Timbalan Pengerusi juga PH. Sudahnya keanggotaan ahli PAC lebih ramai daripada PH,” tambahnya.

Malah katanya, semak imbang lebih berkesan jika cadangan blok pembangkang dipersetujui PH.

Ahli Parlimen Bera itu menambah, pembangkang menilai situasi ini satu penyelewengan janji.

Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, dengan mengekalkan Ronald Kiandee sebagai pengerusi maksudnya, PAC sengaja tidak menghormati manifesto sendiri.

Ini merupakan peletakan jawatan dalam PAC terbaharu selepas pengunduran Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.