KUALA LUMPUR:Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menggesa semua ekonomi agar menyediakan peruntukan daripada belanjawan tahunan untuk menampung usaha-usaha antirasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata ini penting bagi memastikan kekayaan yang dijana ekonomi itu turut dikongsi bersama rakyat dan bukannya dinikmati oleh segelintir pihak.

"Pada masa sama, kita juga perlu meningkatkan usaha bagi mengelak negara masing-masing dilihat sebagai tempat selamat untuk pelaku-pelaku rasuah terbabit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Azam menyampaikan ucap tama di mesyuarat maya Mesyuarat Kumpulan Kerja Pakar Antirasuah dan Ketelusan (ACTWG) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) bertemakan 'Pendedahan Tangan-Tangan Ghaib : Menangani Penyembunyian Pemilikan Berkepentingan,' di sini, hari ini.

Beliau berkata, sesebuah negara itu perlu menjana kekayaan ekonomi bagi meneruskan kelangsungan serta mencapai kejayaan dalam segenap aspek.

"Bagaimanapun, jika salah laku rasuah dan penyelewengan kuasa dibiarkan berleluasa, kekayaan yang dijana itu sebaliknya akan hanya dinikmati oleh segelintir individu," katanya.

-- BERNAMA