Bilangan kenderaan menuju ke Kelantan semakin bertambah sejak Jumaat apabila ramai warga negeri itu pulang ke kampung sempena cuti umum Tahun Baru Cina.

Tinjauan Astro AWANI di beberapa laluan utama menuju ke Kelantan seperti di Gua Musang dan Pasir Puteh mendapati kesemua laluan itu sesak dengan kenderaan.

Hujan lebat di beberapa kawasan menyebabkan lalu lintas menjadi lebih sesak.

Walaupun ramai pengguna jalan raya, khususnya warga Kelantan merancang awal perjalanan mereka pulang ke kampung masing-masing, namun pertambahan kenderaan yang luar biasa menyebabkan aliran trafik perlahan.

Menurut seorang pengguna jalan raya, Eh Chua, beliau memang merancang perjalanannya tetapi bilangan kenderaan yang terlalu banyak menyebabkan lalu lintas menjadi sesak.

"Jam (sesak) sikit tadi dekat Bentong lah, lepas tu nak masuk ke Gua Musang. Harap lepas ni tak jam lah... memang merancang, saya ingat nak balik semalam tapi balik hari ini. Saya dah jangka kalau balik hari ini memang jam sikit lah," katanya.

Bagi seorang lagi seorang pengguna jalan raya, Mohd Nasir Mohamad, beliau telah memulakan perjalanan malam tadi, tetapi hujan lebat menyebabkan laluan sesak teruk.

"Cuaca sepanjang malam tadi sampai sekarang memang hujan tak henti-henti. Ada hujan setempat-tempat. Bagi saya orang yang luar sukarlah sebab jalan jam, hujan lagi," katanya.

Nada sama turut disuarakan seorang lagi pengguna jalan raya, Wee Jen Leong yang mahu pulang ke kampungnya untuk meraikan sambutan Tahun Baru Cina.

"Sesaknya lebih kuranglah cuma tahun ni hujanlah susah sikit mengganggulah jam sikit, namun perjalanan okaylah kerana tak ada kemalangan," katanya.

Sementara itu, kawasan Rehat dan Rawat Hentian Gua Musang menjadi tumpuan orang ramai untuk berehat selepas tersangkut dalam kesesakan lalu lintas selama beberapa jam, sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

Ini turut menyebabkan berlaku kesesakan di kawasan berkenaan.