"Semua baju persiapan raya kami sekeluarga hangus terbakar.

"Lebih menyedihkan lagi, duit yang disimpan di dalam almari baju sebanyak RM9,000 hangus terbakar," kata Samsudin Muhammad, 31 tahun, pemilik salah sebuah daripada tiga rumah yang terbakar di Kampung Kedai Lama, petang ini.

Menurut Samsudin, dalam kejadian jam 5.15 petang itu, dia berada di halaman rumah dan melihat api yang marak bermula dari rumah jiran sebelahnya.

"Saya hanya sempat menyelamatkan dua buah motosikal, televisyen dan beberapa helai pakaian kerana api marak terlalu cepat.

"Kejadian ini berlaku sekelip mata sahaja, namun saya bersyukur kerana ketika kebakaran berlaku, isteri saya, Fatmah Mahamad, 31 tahun, tidak ada di rumah kerana keluar mengambil dua anak di sekolah," katanya.

Katanya, dia cuba untuk masuk ke dalam rumah namun terpaksa keluar balik kerana tidak tahan dengan bahang api yang terlalu panas.

"Melihat api yang semakin marak di depan mata, saya tidak mampu berbuat apa-apa," katanya.

Manakala, seorang lagi mangsa, Khatijah Mahmud, 49 tahun, tidak dapat menahan sebak selepas melihat rumah yang didiamimya sekeluarga sejak lebih 17 tahun musnah dijilat api dalam sekelip mata.

"Ketika kejadian saya keluar berniaga di bazar Ramadan di pekan Rantau Panjang dan terkejut sebaik sahaja menerima panggilan telefon memberitahu rumah kami terbakar.

"Tanpa berlengah, saya segera pulan ke rumah, tetapi keseluruhan rumah sudah hangus terbakar dan lebih malang, saya tidak sempat mengambil wang yang di simpan sebanyak RM3,000 selain barang kemas.

"Kini saya hilang tempat berteduh dan lebih menyedihkan lagi kejadian di luar dugaan ini berlaku di saat umat Islam sedang sibuk melakukan persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi

"Walau bagaimanapun, saya bersyukur kerana tidak nyawa yang terkorban. Buat sementara waktu, saya terpaksa menumpang di rumah ibu yang tinggal berdekatan,"katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Rantau Panjang, Imran Ismail, berkata pihaknya menerima laporan pada jam 5.21 petang dan sampai ke tempat kejadian lima minit kemudian.

"Seramai 14 anggota termasuk pegawai dari Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Rantau Panjang serta Pasir Mas terbabit dalam mengawal kebakaran.

"Sebaik sampai, dua daripada tiga buah rumah sudah 100 peratus terbakar dan kami berjaya mengawal kebakaran dalam masa lima minit daripada teruk merebak.

"Setalat ini jumlah kerugian dan punca kejadian masih lagi dalam siasatan," katanya yang sempat berbuka puasa bersama anggota lain di tempat kejadian.