Tutup

Semua protokol keselamatan di KLIA telah dipatuhi, kata Azharuddin

Semua protokol keselamatan di KLIA telah dipatuhi, kata Azharuddin
SEPANG: Siasatan pihak berkuasa berhubung dua pasport curi yang digunakan untuk menaiki pesawat MH370 kini bertumpu kepada aspek penglibatan sindiket pemalsuan pasport, kata Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman.

Jelas beliau, siasatan setakat ini telah meneliti rakaman visual yang melibatkan dua penumpang yang menggunakan pasport curi itu bermula daripada pendaftaran masuk sehingga mendapat kebenaran untuk pelepasan.
"Saya boleh sahkan semua protokol keselamatan telah dipatuhi, " katanya dalam sidang media pada pukul 8 malam tadi.

Azharuddin juga mengesahkan, selepas meneliti rakaman dan foto, dua penumpang berkenaan bukan lelaki Asia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dipetik oleh Bernama pada Ahad mendedahkan dua lelaki itu sebagai "orang Asia".

"Saya masih hairan tak kan (pegawai imigresen) tak boleh fikir, orang Itali dan Austria tapi muka macam orang Asia," katanya.

Ditanya kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar awal hari ini bahawa polis sudah mengenal pasti identiti seorang daripada lelaki itu, Azharuddin berkata beliau tidak dapat mengesahkannya kerana siasatan pihaknya hanya bertumpu kepada aspek protokol keselamatan.

Khalid sebelum itu mengesahkan seorang daripada lelaki itu bukan warga Malaysia namun tidak dapat mendedahkan negara asalnya.

Beliau juga mengesahkan lelaki itu bukan juga berasal dari Xinjiang, China.

“Sehingga kini, kita tiada bukti untuk mengaitkan bahawa kumpulan militan negara China bertanggungjawab terhadap kehilangan pesawat ini,” katanya.

Azharuddin kemudian mengingatkan bagaimana rupa paras seseorang tidak boleh merumuskan identiti kewarganegaraannya sambil merujuk kepada pemain bolasepak Itali, Mario Balotelli.

"Saudara tahu bagaimana rupanya, kewarganegaraannya? (Dua penumpang itu) tidak kelihatan seperti orang Asia. Saya tidak mahu memperpanjangkan soal ini (kaitan rupa paras dengan kewarganegaraan)," katanya.

Azharuddin juga menjelaskan siasatan pihaknya tidak hanya bertumpu kepada dua penumpang yang masih belum dikenali identiti sebenarnya itu sebaliknya menyentuh "semua sudut, semua kemungkinan".

"Kami sudah melihat aspek keselamatan dan mereka telah melalui semua protokol (keselamatan). Mereka telah diperiksa, bagasi mereka juga diperiksa. Semua itu mematuhi (aspek) keselamatan penerbangan," tambahnya.

Nama dua warga Eropah — Chritian Kozel dari Austria dan Luigi Maraldi dari Itali —  disenaraikan sebagai antara penumpang pesawat MH370 dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing yang kemudiannya hilang dari radar sejak 1.30 pagi Sabtu lalu.

Tuan tubuh yang sebenar bagaimanapun tidak menaiki pesawat itu dan memaklumkan pasport mereka dicuri di Thailand dalam tempoh dua tahun lalu.

Interpol mengesahkan dua pasport curi yang dikesan digunakan oleh dua penumpang pesawat MH370 itu ada dalam senarai pangkalan maklumat Dokumen Perjalanan Dicuri atau Hilang miliknya.