Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menjalankan siasatan dengan segera bagi mengenal pasti punca kejadian kebakaran di cawangan Petaling Jaya dan juga menilai semula langkah-langkah keselamatan ke atas semua bangunan dan cawangan di seluruh negara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan beliau memuji usaha pantas pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam kebakaran terbabit.

“Kami bersyukur kerana kami dapat menjamin keselamatan kesemua anggota dan pelawat ke cawangan dan pejabat kami.

"Kami mohon maaf kepada semua yang terkesan oleh kejadian ini dan berterima kasih kepada jabatan bomba yang bertindak pantas dan berjaya mengawal keadaan dalam masa 30 minit,” jelasnya.

Tambahnya Datuk Shahril pihaknya akan mengambil perhatian terhadap isu yang dinyatakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Keselamatan bahawa api berpunca daripada percikan api ke atas lapisan pelindung bangunan.

“Kami prihatin terhadap lapisan pelindung bangunan yang mungkin menjadi penyebab kepada kebakaran merebak dan sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

"Walaupun kerosakan hanya terhad kepada bahagian luaran bangunan, saya telah mengarahkan supaya cawangan Petaling Jaya ditutup sehingga semua tindakan diambil bagi memastikan keselamatan bangunan,” jelasnya.

KWSP memberi jaminan bahawa semua perkhidmatan kepada ahli dan majikan tidak terjejas dan transaksi boleh dijalankan seperti biasa di mana-mana cawangan lain di seluruh negara atau secara dalam talian melalui aplikasi mudah alih i-Akaun.

Untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai kejadian kebakaran, sila layari laman web KWSP di www.kwsp.gov.my.