Jumlah calon Pemuda Barisan Nasional (BN) di seluruh negara termasuk di Sabah yang dicadangkan sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang diramalkan lebih ramai berbanding pilihan raya yang lalu.

Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata, senarai calon berkenaan sudah dimuktamadkan dan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tindakan lanjut.

Jelas Menteri Belia dan Sukan itu lagi, penambahan jumlah calon daripada kalangan Pemuda BN adalah mahu menunjukkan keseimbangan pemimpin berpengalaman dan pemimpin muda untuk menang PRU14.

"Saya ada senaraikan kepada pucuk pimpinan dan (untuk makluman) yang saya hantar lebih daripada (senarai) dulu (PRU13) tetapi berapa ramai diterima (untuk menjadi calon) itu keputusan dibuat oleh pucuk pimpinan parti.

"Kita berharap Pemuda akan mempunyai wakil daripada calon muda dalam PRU14 dan untuk BN Sabah, akan disenaraikan lebih ramai calon Pemuda daripada PRU13 terutama dari parti UMNO Sabah.

"Kita mahu kombinasi yang lebih berkesan daripada pemimpin berpengalaman dan pemimpin muda," katanya pada sidang media sempena Mesyuarat Khas bersama Pemuda UMNO di Kota Kinabalu, hari ini.

Sementara itu, Khairy turut menasihatkan khususnya pengundi muda agar tidak merosakkan undi demi masa depan negara.

Jelasnya, tindakan pengundi muda yang merosakkan undi adalah disebabkan mereka hilang kepercayaan dan harapan terhadap pembangkang yang ada ketika ini.

"Generasi muda hari ini mahu kerajaan dipimpin oleh pemimpin yang mempunyai perancangan untuk masa depan negara dan bukannya memilih pemimpin yang menjadi pengasas kepada pelbagai masalah dalam negara," katanya.