Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka yang baharu dijangka mengangkat sumpah Jumaat ini.

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, senarai nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bakal dilantik sebagai Exco, sudah dipersembahkan kepada Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohamad Khalil Yaakob untuk dipersetujui.

“Saya dah persembahkan kepada Tun (Dr Mohamad Khalil), saya tunggu arahan daripada Tun untuk kita senaraikan melalui media nanti.

“Tak apa saya selesaikan (isu) air ini sedikit dahulu, nanti saya akan fikirkan siapa Exco saya nak letak untuk jaga air ni,” katanya ketika ditemui di sini.

Sekurang-kurangnya sembilan ADUN disenaraikan untuk dilantik sebagai Exco negeri, termasuk seorang ADUN wanita.

BACA: Ketua Menteri Melaka yakin gabungan Perikatan Nasional beri gerak kerja baik buat rakyat

BACA: Sulaiman Md Ali angkat sumpah Ketua Menteri Melaka ke-12

Perikatan Nasional negeri Melaka mempunyai 15 ADUN, membabitkan 13 dari Barisan Nasional (BN), masing-masing satu dari PKR dan Bebas.

Datuk Sulaiman sebelum itu mengadakan lawatan ke kawasan empangan di Jus dan Durian Tunggal, petang ini.